Guna ujian COVID-19 untuk benarkan sempadan negara dibuka - IATA | DagangNews Skip to main content

Guna ujian COVID-19 untuk benarkan sempadan negara dibuka - IATA

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk membuka sempadan negara masing-masing dengan segera. 

 

IATA mencadangkan kerajaan-kerajaan untuk menggunakan kaedah pengujian COVID-19 ke atas pelancong antarabangsa di mana seterusnya dapat membuka semula sekatan sempadan sebagai alternatif kepada peraturan kuarantin. 

 

Jelas persatuan itu, pelaksanaan kurantin telah ‘membunuh’ permintaan perjalanan udara dan kerajaan diminta untuk segera mempertimbang impak sosio ekonomi drastik akibat langkah berkenaan. 

 

“Perjalanan antarabangsa terus menurun sehingga 90% paras tahun 2019. 

 

“Jangkaan semasa iaitu sebanyak 46 juta pekerjaan yang dipacu oleh perjalanan udara akan hilang dan aktiviti ekonomi yang bertahan oleh penerbangan akan berkurangan sebanyak AS$1.8 trilion,” kata IATA dalam satu kenyataan. 

 

Hari ini, DagangNews.com yang memetik kenyataan IATA melaporkan sektor itu dijangka merekodkan kerugian bersih sebanyak AS$118.5 bilion, meningkat lebih tinggi berbanding unjuran Jun lalu, AS$84.3 bilion. 

 

Baca : Sektor penerbangan dijangka rekod rugi bersih AS$118.5 bilion - IATA

 

Bagi 2021 pula, ia diunjur meningkat lebih sekali ganda pada AS$38.7 bilion berbanding unjuran awal, AS$15.8 bilion sebelum itu dengan jangkaan separuh kedua akan menunjukkan prestasi yang lebih baik. 

 

Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac menegaskan bahawa rakyat inginkan dan memerlukan pergerakan global.

 

CEO IATA
Alexandre de Juniac

 

“Langkah ‘Berlepas’ (Take-off) oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menjadikan penerbangan selamat. Tetapi, penutupan sempadan, sekatan perjalanan dan langkah kuarantin membuatkan perjalanan mustahil. 

 

“Kita perlu menguruskan bagaimana kita boleh ‘hidup’ dengan virus ini. Tetapi, ini bukan bermaksud perlu ‘memusnahkan’ penerbangan, merisikokan jutaan pekerjaan, merosakkan ekonomi dan jalinan sosial antarabangsa.

 

“Kita boleh buka semula sempadan dengan selamat menerusi pengujian COVID-19,” kata beliau. 

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) IATA yang ke-76, persatuan itu turut mengeluarkan beberapa resolusi bagi membangkitkan kebimbangan terhadap situasi sektor penerbangan ketika ini. 

Ini termasuk:

  • Menegaskan semula komitmen berterusan industri untuk melaksanakan protokol biokeselamatan global yang telah dipersetujui

 

  • Menggalakkan kerajaan-kerajaan untuk melaksanakan garis panduan yang diwujudkan oleh ICAO

 

  • Meminta kerajaan untuk memastikan staf penerbangan dan pelancong antarabangsa diberikan keutamaan vaksin COVID-19 apabila rawatan yang selamat dan berkesan tersedia serta setelah pekerja penjagaan kesihatan dan kumpulan rentan telah diberi perlindungan.  - DagangNews.com