Skip to main content
Kolum Idea Digital - 20 July 2021

Guru, Sifu dan Pakar Pemasaran: Guna Cara Ini Untuk Menilai

 

 

PEMASARAN, terutamanya pemasaran digital, kini merupakan salah satu industri yang sangat popular di Malaysia. Ramai guru pemasaran digital yang muncul di media-media sosial dan juga yang tersenarai di enjin-enjin pencarian yang mula mencipta nama masing-masing.

 

Mereka mengajar tentang pelbagai subjek terutamanya dalam bidang media sosial, tentang enjin pencarian, tentang pembuatan kandungan, tentang pemasaran influencer, tentang laman web, tentang rekabentuk grafik dan bermacam-macam lagi.

 

Petua demi petua dikongsi dan dicurahkan setiap hari kepada berpuluh-puluh ribu pengikut mereka. Jangan terkejut, ada juga yang mempunyai beratus-ratus ribu dan berjuta-juta pengikut di seluruh pelusuk negeri.

 

Walaupun ramai di antara guru-guru masih muda, tetapi kepakaran mereka dari segi olahan status yang ditulis dilihat sangat hebat. Kalau tidak, mereka tidak akan mampu mencapai jumlah pengikut yang begitu ramai.

 

Bagi saya, ini satu perkembangan yang bagus. Ia perkembangan yang sangat sihat kerana dengan cara ini, mesej tentang kebaikan pemasaran mampu sampai ke seluruh negara terutamanya kepada para peniaga kecil dan sederhana yang amat memerlukannya demi kelangsungan perniagaan mereka.

 

Ya betul, walaupun guru-guru pemasaran ini sebenarnya menjual perkhidmatan mereka secara tidak langsung, namun kita tidak dapat nafikan yang petua-petua yang mereka berikan secara percuma itu sangat bernilai harganya.

 

Mereka juga tidak memaksa, yang mereka mahukan hanyalah alamat e-mel kita agar selepas petua-petua percuma ini dibaca, mereka akan menyelitkan mesej mengajak kita melanggan ebook mereka yang juga percuma. Di sinilah e-mel kita akan digunakan bagi tujuan promosi mereka seterusnya.

 

Pengambilan nota

Secara peribadi, saya ingin menggalakkan kita semua agar belajar taktik dan teknik yang guru-guru pemasaran ini curahkan. Ikut mereka di media sosial di mana mereka berada.

 

Baca, faham dan tulis ke dalam buku nota kita apa yang kita belajar pada hari tersebut. Pembelajaran kita tentang pemasaran tidak perlu kita hadkan hanya dengan buku-buku ilmiah sahaja, atau dari seorang dua guru sahaja. Belajar perlu ikhlas tanpa sebarang prejudis.

 

Saya berharap agar kita semua agar tidak menilai mereka dari segi umur, pengalaman, kredibiliti, jumlah pelanggan mereka, kelayakan atau di syarikat mana mereka bekerja.

 

idea

 

Ada yang mengajar melalui pengalaman, ada yang mengajar melalui pemahaman, ada juga yang mengajar melalui pembacaan atau latihan yang diterima dan ada yang mengajar melalui kombinasi ketiga-tiga ini. Ia sama seperti jurulatih sukan tertentu.

 

Tidak semestinya seseorang jurulatih itu pernah menjadi seorang ahli sukan yang hebat sebelum menjadi jurulatih. Begitu juga dengan kelayakan, tidak semestinya individu yang berkelayakan tinggi itu boleh menjadi seorang pemasar yang hebat.

 

Banyak yang kita boleh belajar dari orang lain sekiranya kita tidak prejudis. Banyak yang kita boleh belajar dari orang lain sekiranya pemikiran kita terbuka untuk menerimanya.

 

Kita juga akan perasan sebenarnya setiap petua, taktik dan rahsia yang mereka sediakan itu kebanyakan fokus kepada bidang dan kepakaran yang mereka sendiri miliki.

 

Masing-masing tidak menulis apa yang ada di luar pengetahuan dan kepakaran mereka. Dan rata-rata penulisan mereka banyak berkisar tentang taktikal, iaitu cara bagaimana menyediakan sesuatu bentuk pemasaran itu berbentuk how-to. Saya tahu, pengalaman banyak mempengaruhi apa yang ditulis.

 

Setiap nota yang diambil tadi, kita perlu tapis terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Mengapa? Kerana ini penting untuk kesesuaian perniagaan kita. Ada dua cara untuk menapis setiap pengetahuan dan ilmu yang diterima secara rawak.

 

  1. Buat perbandingan dengan penulisan orang lain yang kita akui lebih berkredibiliti. Walaupun kita tidak mempertikaikan kebolehan guru pemasaran digital tadi.

    Tetapi kita boleh membuat perbandingan tentang apa yang dikongsikannya dengan apa yang pernah ditulis sebelum ini yang mempunyai konsep atau perspektif yang hampir sama. Dan perbandingan ini perlu dilakukan mengikut keperluan perniagaan kita, tidak lebih dari itu.

 

  1. Buat pemerhatian untuk mengesahkan apa yang kita baca tadi itu masuk akal ataupun sebaliknya. Ini juga penting kerana setiap petua yang kita baca mungkin konsep dan pendekatannya tidak sesuai dengan perniagaan kita.

    Mungkin ia ditulis berdasarkan perniagaan dalam talian sahaja, manakala perniagaan kita pula berbentuk fizikal, dan kedua-duanya mempunyai keperluan dan pendekatan yang sangat berlainan.

 

 

Susun kembali nota mengikut strategi

Saya jarang berjumpa dengan guru-guru pemasaran di luar sana yang tahu segala-galanya tentang pemasaran. Pemasaran mempunyai beberapa subjek yang sangat meluas. Kebanyakan dari mereka tahu mungkin satu, dua ataupun tiga subjek tertentu sahaja dengan mendalam tetapi tidak kesemuanya. Saya pun begitu.

 

Semua orang tahu, kemahiran utama saya terletak pada strategi pemasaran dan bagaimana membina strategi pemasaran yang efektif. Dalam penulisan saya sebelum ini, saya ada berkongsi bagaimana cara membina strategi pemasaran yang berstruktur.

 

idea

 

Guna struktur tersebut dan masukkan nota-nota yang telah diambil dan disahkan tadi ke dalam struktur tersebut. Dengan nota yang berstruktur, kita akan mula ‘nampak’ dengan jelas tentang apa yang kita belajar dan bagaimana untuk menggunakannya untuk perniagaan kita.

 

Dari sini juga kita akan lihat sebenarnya keberkesanan strategi pemasaran bukan terletak pada kepandaian teknikal kita tentang sesuatu subjek pemasaran digital sahaja.

 

Mahir menggunakan Facebook, LinkedIn, Instagram dan Twitter sahaja tidak mencukupi. Mahir tentang SEO sahaja tidak mencukupi. Kepandaian kita menulis artikel atau mereka bentuk grafik yang hebat sahaja tidak cukup.

 

Pemasaran juga bukan hanya terletak kepada kepandaian kita mencipta laman web atau membuat ideo-video yang viral semata-mata. Ia lebih mendalam dari sekadar subjek-subjek digital ini semua. Kita juga perlu faham tentang subjek-subjek di luar dunia digital yang ada kena-mengena dengan produk, operasi dalaman dan model perniagaan kita sendiri.

 

Kaitkan teori dengan kehendak pengguna

Struktur yang kita bina tadi akan membentuk satu teori. Untuk memastikan teori kita tepat dan tidak separuh masak, kita harus tahu bagaimana mengaitkannya dengan kehendak pengguna di luar sana.

 

Buat sedikit kajian tentang tabiat membeli, kemahuan, kehendak dan permintaan para pengguna tentang produk ataupun perkhidmatan yang kita jual berdasarkan soalan-soalan ini.

 

  1. Bagaimanakah cara mereka membeli?

  2. Bagaimanakah cara mereka membuat keputusan tentang sesuatu pembelian?

  3. Mengapa mereka membeli?

  4. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pembelian mereka?

  5. Bilakah masa yang biasanya mereka akan membeli?

  6. Dimana mereka membeli?

 

 

Perbetulkan nota tadi

Setelah kita menjawab soalan-soalan di atas, kita akan dapati beberapa fakta menarik ini akan muncul.

 

Kualiti produk atau perkhidmatan, dan pengalaman manis pengguna akan memainkan peranan utama dalam pembelian. Biasanya ia akan wujud melalui buah mulut orang.

 

 

idea

 

 

Pemasaran melalui buah mulut yang semulajadi hanya akan terjadi apabila seseorang itu merasa puas hati dengan pembelian mereka tadi. Puas hati apabila mereka menikmati produk yang dibeli tadi dan puas hati ketika menerima layanan sewaktu membeli dan berinteraksi dengan wakil jenama tadi.

 

Secara automatik, dengan sendirinya mereka akan menceritakan kebaikan produk tersebut dan juga apa yang mereka alami iaitu pengalaman manis mereka kepada orang lain. Ada yang akan bercerita siap dengan gambar atau video sekali.

 

Kini kehendak pembeli tidak lagi boleh ‘dibeli’ dan ‘disogok’ oleh iklan. Para pengguna pada hari ini rata-rata kurang suka dengan iklan. Yang menyampah dengannya pun ramai.

 

Kalau mereka nampak sahaja iklan yang menyelinap masuk ke dalam bahan-bahan di internet yang mereka ingin lihat, terus dan tanpa teragak-agak mereka akan menekan butang Tutup.

 

Mereka lebih percaya sekiranya sesuatu mesej itu disampaikan oleh seseorang yang mereka kenali dan bukannya secara langsung dari jenama produk itu. Sebab itulah semakin banyak jenama kecil dan besar mewujudkan rasa kebolehpercayaan untuk mendapatkan keyakinan dari para pengguna melalui kandungan-kandungan.

 

Namun begitu, iklan sedikit sebanyak akan membantu sekiranya kita mempunyai bajet dan ingin mempercepatkan strategi pemasaran buah mulut tadi. Iklan juga mampu mencapai para pengguna internet yang tidak pernah kenal dengan jenama kita, yang tidak pernah tahu tentang kita.

 

Walaupun iklan tidak begitu digemari ramai, fungsinya bagi saya tetap penting dalam strategi pemasaran hari ini.

 

idea

 

Kesimpulannya di sini, apabila kita terserempak dengan mana-mana guru pemasaran, sifu pemasaran, pakar pemasaran ataupun ketiga-tiga mereka di internet mahupun di media sosial, jangan khuatir.

 

Baca dahulu tanpa prejudis tentang petua pemasaran yang mereka tulis, faham tentang perspektif perkongsian tersebut dan ambil sedikit nota sekiranya ia dilihat masuk akal. Buang syak wasangka tentang latar belakang mereka.

 

Buka minda kita seluas mungkin untuk mencatatkan poin-poin penting yang mereka sediakan. Kemudian baharu kita tapis dengan mengikut langkah-langkah yang saya telah ceritakan tadi untuk disesuaikan dengan perniagaan kita sebelum menggunakannya. - DagangNews.com

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

 

Portfolio Tags