GuruLab kumpul RM4.3 juta bantu tingkat gred pelajar | DagangNews Skip to main content

GuruLab kumpul RM4.3 juta bantu tingkat gred pelajar

Barisan tenaga pengajar GuruLab
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Platform pendidikan dalam talian, GuruLab berjaya mengumpul dana sebanyak RM4.3 juta dalam usaha membantu pelajar meningkatkan gred melalui pendidikan yang dipacu data.

 

Platform yang dibangunkan tutor berkelayakan tinggi itu menawarkan kelas bahasa Inggeris yang boleh distrim secara langsung pelajar seluruh negara dengan mengakses kelas yang dikendalikan oleh tutor-tutor terkemuka negara.

 

Pengasas bersama, Eer Kai Song dan Vicky Tan merupakan graduan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge menubuhkan syarikat ini untuk merealisasikan visi membantu setiap pelajar mengikut keperluan pembelajaran yang diperlukan.

 

Kai Song berkata, mereka telah membina sebuah pasukan terdiri daripada lulusan graduan 50 universiti terbaik dunia, termasuk lebih 10 pemegang ijazah sarjana dan PhD dalam pendidikan serta guru berpengalaman.

 

Jelasnya, pada awal tahun lepas dengan berbekalkan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Maklumat dari Universiti Cambridge, beliau merasakan ada peluang untuk menyumbang dalam sistem pendidikan Malaysia melalui sains data. 

 

 

gurulab
Pengasas bersama GuruLab,  Eer Kai Song (kiri) dan Vicky Tan

 

 

"Keinginan untuk menyumbang turut menjadi budaya dalam syarikat yang diasaskan. Ramai dalam kalangan kami pulang dari luar negara ingin membantu pelajar-pelajar di Malaysia kerana melihat sendiri peluang dan manfaat yang diperoleh apabila seseorang itu memperoleh pendidikan yang baik," katanya dalam kenyataan.

 

Tan yang memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Oxford percaya melalui maklum balas algoritma platform GuruLab dan kaedah yang dipacu data boleh membantu menyelesaikan kekurangan pendekatan 'one-size-fits-all' yang diamalkan sekolah dan pusat tuisyen di negara ini.

 

"GuruLab berhasrat menggunakan dana yang terkumpul untuk meningkatkan platform analitik dan mengembangkan lagi penggunaan dalam ekosistem pendidikan Malaysia. Kini, kami masih merekrut secara aktif mereka yang ingin berperanan dalam bahagian pendidikan dan teknologi, termasuk tutor, jurutera perisian dan saintis data," katanya.

 

GuruLab menyasarkan untuk menjadi platform pendidikan terkemuka di Asia Tenggara dan merancang menambah lagi pembelajaran subjek lain serta mengembangkan pasaran mereka. - DagangNews.com