Hab Tenaga Bersepadu Bintulu unjur kontrak kerja RM1 bilion dari firma global | DagangNews Skip to main content

Hab Tenaga Bersepadu Bintulu unjur kontrak kerja RM1 bilion dari firma global

SHAH ALAM 2 Ogos – Hab Tenaga Bersepadu Bintulu (BIEH) mengunjurkan kontrak kerja tambahan bernilai RM1 bilion daripada syarikat-syarikat ternama global.

 

Projek BIEH adalah milik sepenuhnya Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) yang sememangnya bermula di Bintulu, kira-kira 350 kilometer dari ibu negeri Sarawak, Kuching.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, pada separuh pertama tahun ini (1H2021), BEIH telah menerima kontrak kerja bernilai lebih daripada RM640 juta daripada pelbagai pelanggan.

 

Pelanggan-pelanggan tersebut ujar beliau, antaranya ialah Shell, Petronas, Samalaju Port, ABP, Nippon Oil dan jenama besar lain di dalam pelbagai industri.

 

“Buku tempahan bagi BIEH pula bernilai RM640 juta yang berterusan sehingga tahun 2023.

 

“Pihaknya mengunjurkan kontrak kerja tambahan bernilai RM1 bilion daripada syarikat-syarikat ternama antarabangsa yang akan menyokong pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2022,” kata beliau di sini.

 

Abdul Karim berkata, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19, BIEH tetap beroperasi seiring dengan strategi pertumbuhan berjangka panjang.

 

Menurutnya, BIEH mengambil langkah jitu bagi mengendalikan prospek masa kini yang tidak menentu, bagi menguatkan daya tahan dan memastikan kemampanan syarikat dalam jangka panjang.

 

“Walaupun berdepan cabaran-cabaran akibat COVID-19, operasi kami tetap mantap dan berjalan dengan kapasiti 100% yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.


 

Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 

Pada masa ini kata Abdul Karim, BIEH memiliki seramai 1,239 tenaga kerja, yang bekerja mengikut shif.

 

BIEH merupakan pembangunan seluas 12.14 hektar (30 ekar) di Tanjung Kidurong, Bintulu yang menempatkan kemudahan Pusat Kecemerlangan bagi penyenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO) serta pemeriksaan, pembaikan dan penyengaraan (IRM).

 

Projek ini bila siap sepenuhnya kelak bakal menjadi kemudahan utama yang akan menyediakan pelbagai bentuk MRO dan pelbagai disiplin perkhidmatan EPCC (Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentaulihan).

 

Hab ini juga dilengkapi teknologi canggih seperti mesin keseimbangan berkuasa tinggi, komputer kawalan angka menegak dan pusat pengilingan melintang, mesin pemotongan wayar secara elektrik, mesen pengukur koordinat berketepatan tinggi serta teknologi terkini lain yang akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia.

 

Pembinaan BIEH ini adalah bagi memenuhi permintaan pasaran, khususnya Bintulu yang merupakan pusat pengeluaran gas utama di Sarawak. Antara syarikat tempatan dan global yang ada di Bintulu ialah ABF (ASEAN Bintulu Fertilizer); MLNG (Malaysia Liquefied Natural Gas) dan BIF (Kemudihan Bersepadu Bintulu) ketiga-tiganya milik Petronas; SMDS (Shell Middle Distillate Synthesis) milik Shell dan PTTEP – sebelum ini dikenali sebagai Murphy Oil.

 

Pada masa ini, pusat BIEH mengandungi bengkel MRO, kilang penyalutan, menggalvani dan peletupan, kawasan pemasangan dan pembinaan, gudang dan stor.

 

Kemudan lain ialah bangunan pejabat, medan letak kereta, stesen kecil tenaga, kemudahan rawatan air sisa dan pusat latihan.

 

BIEH
BIEH merupakan pembangunan seluas 12.14 hektar (30 ekar) di Tanjung Kidurong, Bintulu.

 

Serba Dinamik turut memainkan peranannya di dalam aspek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dengan menyumbang kepada petugas barisan hadapan menghadapi COVID-19 di Bintulu.

 

Pada 30 Jun lalu, Serba Dinamik Sdn Bhd menyumbang lima mesin pencuci, tiga alat pembahagi air, dan bekalan makanan kepada Hospital Bintulu.

 

Sumbangan tersebut bertujuan menyediakan bantuan kepada lima Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Bintulu, selain pesakit COVID-19 di hospital tersebut. – DagangNews.com