Haily mulakan penampilan sulung dengan 79 sen, saham Kanger, Sersol, CTOS, Ramssol, Pasukhas antara paling aktif | DagangNews Skip to main content

Haily mulakan penampilan sulung dengan 79 sen, saham Kanger, Sersol, CTOS, Ramssol, Pasukhas antara paling aktif

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Bursa tempatan dibuka tinggi pagi ini selepas cuti umum Hari Raya Aidiladha semalam dengan indeks utama FBM KLCI menokok 1.4 mata kepada 1,521.4 mata. 

 

Pada Isnin, KLCI ditutup rendah setelah menyusut 2.51 mata kepada 1,519.97 mata seiring dengan pergerakan pasaran serantau di tengah-tengah tekanan inflasi yang kian memuncak dan kebangkitan semula pandemik.

 

Pagi ini, penampilan sulung Haily Group Bhd. di Pasaran ACE Bursa Malaysia mencuri tumpuan apabila dibuka 79 sen, lebih tinggi daripada harga tawaran permulaan (IPO) pada 68 sen. 

 

Setakat 9.03 pagi, saham syarikat pembinaan ini diniagakan pada 78.8 sen dengan 37.86 juta saham diniagakan antara 76 hingga 81.5 sen. 

 

Dalam kalangan saham aktif, saham Kanger International Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 6.67% kepada 8 sen manakala Sersol Bhd. naik 9.38% kepada 52.5 sen. 

 

Ia diikuti Ramssol Group Bhd. naik 3.73% kepada 69.5 sen manakala Systech Bhd. menokok 6.56% kepada 32.5 sen. 

 

Selain itu, Pasukhas Group Bhd. susut 14.29% kepada 9 sen diikuti CTOS Digital Bhd. susut 0.62% kepada RM1.61. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham Vitrox Corporation Bhd. mendahului carta dengan menokok 3.12% kepada RM17.2 manakala Far East Holdings Bhd. naik 8.57% kepada RM3.04. 

 

Malaysian Pacific Industries Bhd. pula mendahului kaunter rugi dengan susut 1.2% kepada RM41.2 diikuti K. Seng Seng Corp. Bhd. susut 17.02 mata kepada 78 sen. 

 

Saham-saham Mr DIY Group (M) Bhd, Kanger International Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Latitude Tree Holdings Bhd, MSM Malaysia Holdings Bhd, AMMB Holdings Bhd, Konsortium Transnasional Bhd dan Tan Chong Motor Holdings Bhd. juga antara yang mencuri tumpuan pelabur dalam dagangan sepanjang hari. 

 

Mengenai pergerakan pasaran hari ini, Malacca Securities Research dalam nota kajian berkata, meskipun Wall Street kembali pulih, tetapi dijangka terdapat aktiviti penjualan awal di pasaran tempatan dengan kenaikan mungkin terbatas di tengah-tengah kenaikan kes jangkitan COVID-19 yang boleh memperlahankan usaha pemulihan ekonomi. - DagangNews.com