Haily raih kontrak bina rumah bernilai RM17.5 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

Haily raih kontrak bina rumah bernilai RM17.5 juta di Johor

KUALA LUMPUR 7 Sept - Syarikat pembinaan Haily Group Bhd., meraih kontrak kedua bernilai RM17.5 juta daripada Mah Sing Group Bhd. dalam masa kurang setahun untuk membina 108 rumah teres dua tingkat di Johor Bahru. 

 

Anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd., hari ini telah menerima surat anugerah daripada Meridin East Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Mah Sing, untuk pembinaan Parcel 2H3 Meridin perbandaran timur di Plentong.

 

Projek pembinaan itu akan mengambil masa selama 16 bulan, dengan tarikh mula akan dimaklumkan oleh Pegawai Penguasa projek. 

 

Kontrak itu adalah 'Kontrak Harga Tegas' dan tidak akan tertakluk kepada sebarang turun naik kos selain daripada perubahan yang dibenarkan di bawah syarat kontrak.

 

 

See Tin Hai
See Tin Hai

 

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, ia adalah satu pencapaian bagi kumpulan kerana ia memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan dalam barisan hadapan kontraktor terkemuka Johor. 

 

"Kami amat berterima kasih menerima LoA daripada Mah Sing, salah satu pemaju hartanah terbesar negara. 

 

"Pencapaian ini sejajar dengan pertumbuhan masa depan kami untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri pembinaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, kontrak pertama yang diperoleh Haily daripada Mah Sing bernilai RM24.5 juta melibatkan pembinaan 155 rumah teres dua tingkat untuk perbandaran Meridin East.

 

Dengan perolehan terkini itu, nilai kontrak kumpulan terdiri daripada 24 projek yang sedang berjalan dengan jumlah sebanyak RM578.12 juta, yang dijangka siap secara berperingkat antara 2022 dan 2024.

 

Beliau menjangkakan prestasi Haily akan didorong oleh projek pembinaan sedia ada yang sedang berjalan dan projek pembinaan baharu.

 

"Kumpulan berpendapat keputusan kewangannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 akan kekal menggalakkan," tambahnya. - DagangNews.com