Haily raih projek pembinaan rumah komuniti RM14.57 juta di Kulai | DagangNews Skip to main content

Haily raih projek pembinaan rumah komuniti RM14.57 juta di Kulai

JOHOR BAHRU 12 Nov – Syarikat pembinaan yang berpangkalan di Johor, Haily Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya Haily Construction Sdn Bhd telah menerima Surat Anugerah (LA) daripada Nice Frontier Sdn Bhd, anak syarikat IOI Properties Group Berhad, untuk melaksanakan projek perumahan komuniti di Kulai, Johor bernilai RM14.57 juta.

 

Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, pemberian projek terbaru ini akan meningkatkan nilai projek Haily yang kini berjumlah RM543.22 juta, melibatkan 22 projek pembinaan bangunan dan 2 projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang dijalankan.

 

Menurutnya, kontrak terbaru ini akan memenuhkan jadual Haily untuk 16 bulan akan datang dan akan menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Haily bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023.

 

Beliau berkata, pemerolehan projek terbaharu adalah satu lagi bukti keupayaan Haily Construction sebagai kontraktor Gred G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

``Ini kerana majikan memerlukan semua kerja dinilai berdasarkan standard kualiti yang dinyatakan dalam Standard Industri Pembinaan (CIS) 7:2014 Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan yang dikeluarkan oleh CIDB dan mencapai markah minimum 68% untuk Penilaian Kualiti QLASSIC,'' ujarnya.

 

Dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia mendedahkan bahawa projek itu melibatkan cadangan pembinaan dan penyiapan 216 unit rumah bandar strata berukuran 20 kaki x 60 kaki (9 blok), pejabat pengurusan dan pencawang TNB.

 

Tempoh kontrak adalah 16 bulan dari tarikh permulaan, yang akan dimaklumkan kepada Haily sewajarnya.

 

Beliau percaya pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan Malaysia dalam Bajet 2022 untuk meremajakan sektor hartanah tempatan akan meningkatkan pemulihan industri pembinaan tahun depan.

 

 

See Tin Hai
                                               See Tin Hai

 


Menyingkap semula, Haily Construction telah menerima projek kediaman yang dianugerahkan oleh Factor Synergy Sdn Bhd pada 5 November 2021, anak syarikat milik penuh TA Global Berhad bernilai RM23.70 juta.

 

Haily Construction juga, pada 2 November 2021, telah menerima projek perumahan oleh Gunung Impian Development Sdn Bhd untuk projek kediaman yang terletak di Tebrau, Johor bernilai RM27.21 juta.

 

Haily membuat penampilan sulungnya dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 21 Julai 2021.

 

Kumpulan secara dasarnya adalah kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor. Ia juga menyediakan jentera pembinaan untuk tujuan penyewaan. - DagangNews.com