Hak Trafik Udara menurun 66.7%, Malaysia Airlines terima paling banyak | DagangNews Skip to main content

Hak Trafik Udara menurun 66.7%, Malaysia Airlines terima paling banyak

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Permohonan Hak Trafik Udara (ATR) pada suku ketiga tahun ini menurun sehingga 66.7% tahun ke tahun, dengan Malaysia Airlines menerima 7 ATR, tertinggi berbanding syarikat penerbangan lain. 

Menurut laporan ATR yang dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kadar permohonan ini mencerminkan pengurangan sebanyak 55.6% berbanding separuh pertama tahun ini terutama disebabkan pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

Bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September 2020 itu, sebanyak 12 permohonan ATR diluluskan, yang mewakili 100% permohonan diterima untuk tempoh berkenaan. 

Daripada jumlah itu, 7 adalah bagi destinasi domestik manakala 5 untuk perjalanan antarabangsa iaitu Jepun, Hong Kong (2) dan ASEAN (2). 

"Selain Malaysia Airlines, Raya Airways menerima 3 ATR, AirAsia Bhd.(1) dan Fly Firefly Sdn. Bhd. (1)," katanya menerusi laman web Mavcom. 

Peruntukan ATR bagi lapangan terbang pula menyaksikan tujuh diberikan kepada penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), 4 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) dan 1 dari Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuching (KCH). 

Menurut Mavcom, dengan mengambil kira situasi ketika ini, penangguhan sementara diberikan kepada syarikat penerbangan yang mana hak ATR akan dibatalkan sekiranya tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada kelulusan diberikan suruhanjaya tersebut.   

"Penangguhan ini mula berkuat kuasa 4 Jun lalu, bagi meringankan beban yang dihadapi syarikat penerbangan ketika pandemik ini dan membolehkan mereka menyimpan portfolio semasa ATR bagi tempoh yang tidak terbatas hingga dimaklumkan kelak. 

"Tetapi penangguhan ini tidak terpakai untuk ATR yang telah berakhir dan dibatalkan secara automatik sebelum 4 Jun 2020 dan juga untuk laluan yang ditamatkan oleh syarikat penerbangan atas kehendak mereka sendiri," katanya.- DagangNews.com