Handal Energy terjejas teruk akibat COVID-19, susut hasil 46% | DagangNews Skip to main content

Handal Energy terjejas teruk akibat COVID-19, susut hasil 46%

KUALA LUMPUR 27 Nov - Handal Energy Bhd mencatat penurunan besar sebanyak 46% dalam perolehan kepada RM9.1 juta pada suku pertama berakhir 30 September berbanding RM17 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Kumpulannya, Sunildeep Dhaliwal berkata, prestasi kewangan Handal bagi suku dikaji terjejas oleh sekatan pergerakan akibat COVID-19 yang menyaksikan aktiviti minyak dan gas (O&G) yang lebih rendah, manakala beberapa projek juga ditangguhkan.

 

"Namun begitu, kami melihat harga bahan api fosil yang kukuh dan pelaksanaan program vaksinasi kembangsaan memberi kesan positif kepada industri O&G yang mana sepatutnya menyerapi penyedia perkhidmatan seperti kami.

 

"Walaupun terdapat ketidaktentuan akibat COVID-19 dan kesannya terhadap operasi, kami menjangkakan dapat manfaat daripada gabungan kontrak baharu dan projek tertunda pada suku tahun akan datang dengan pembukaan semula ekonomi.

 

"Strategi pembangunan perniagaan kami telah mula membuahkan hasil kerana kami telah memperoleh beberapa kontrak baharu manakala beberapa projek ditangguhkan ke tarikh berikutnya," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

 

Bagi suku dikaji, peneraju perkhidmatan bersepadu minyak dan gas (O&G) mencatat kerugian sebelum cukai RM3.9 juta berbanding untung sebelum cukai RM300,000 pada suku pertama tahun kewangan 2021.


 

Sunildeep Dhaliwal
                                           Sunildeep Dhaliwal

 


Bagaimanapun, kerugian kumpulan mengecil kepada RM3.1 juta susulan perbelanjaan cukai pendapatan sebanyak RM700,000.

 

Sunildeep berkata, kepakaran dan pengalaman Handal adalah penting dalam mendapatkan projek di bawah pelan pemulihan syarikat.

 

"Kumpulan juga baru-baru ini telah memperoleh kontrak dari luar Malaysia selaras dengan aspirasi kami untuk mengembangkan kehadiran Handal di rantau Asia Tenggara. Sehingga 30 Julai 2021, buku pesanan kami kekal stabil pada RM1.04 bilion.

 

"Kontrak yang diraih baru-baru ini daripada ExxonMobil, MDC Oil & Gas (SK320) Ltd, sebuah unit Mubadala Petroleum LLC Mubadala, EnQuest, dan CarigaliHess, akan menawarkan pertumbuhan pendapatan yang ketara kepada kumpulan. 

 

"Oleh itu, kami sangat optimistik bahawa prospek perniagaan Handal kekal menggalakkan untuk tahun kewangan akan datang," katanya. - DagangNews.com

 

NOTA EDITOR: Pihak Editorial telah tersalah pakai gambar pegawai Handal Energy sebelum ini dan telah membuat perubahan gambar Encik Sunildeep Dhaliwal yang sebetulnya. Kesilapan tidak disengajakan ini amat dikesali.