Hanya 7,086 kenderaan dijual pada Julai, kata MAA | DagangNews Skip to main content

Hanya 7,086 kenderaan dijual pada Julai, kata MAA

.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Jualan kenderaan dalam industri automotif negara menyaksikan penyusutan mendadak apabila hanya menjual 7,086 unit kenderaan pada Julai.

 

Jumlah itu jauh berbeza dengan 58,878 unit yang dicatatkan bulan sama tahun lalu.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, bagaimanapun jualan yang dicatat pada Julai itu adalah 270% lebih tinggi berbanding 1,921 unit yang diraih pada Jun 2021.

 

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, industri menjual 256,215 unit, iaitu 10% berbanding 232,423 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu," katanya.

 

"Bagi tempoh bulan dikaji, industri automotif menjual 4,949 unit kenderaan penumpang dan 2,137 unit kenderaan komersial, berbanding 53,415 unit dan 5,463 unit yang dijual masing-masing bagi kenderaan penumpang dan komersial pada Julai 2020.

 

"Jualan yang diraih pada Julai kebanyakan disumbangkan daripada Sabah dan Sarawak di mana bilik pameran dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," jelas MAA dalam satu kenyataan seperti dilaport Berita Harian. 

 

Mengulas lanjut, MAA memberitahu, jumlah pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi tempoh bulan dikaji juga sangat rendah.

 

Mengulas berkaitan aspek pengeluaran pula, MAA berkata, bagi tempoh Julai, hanya 2,775 unit kenderaan dihasilkan, berbanding 47,630 unit yang dikeluarkan pada Julai 2020.

 

Mengenai unjuran jualan Ogos 2021, jualan pada bulan semasa dijangka lebih tinggi berbanding Julai lalu.

 

Jelas MAA, ia susulan daripada bilik pameran di kebanyakan negeri termasuk pasaran utama di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi pekerja. - DagangNews.com