Hanya pekerja asing sedia ada di dalam negara boleh diambil bekerja | DagangNews Skip to main content

Hanya pekerja asing sedia ada di dalam negara boleh diambil bekerja

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@utusan.com.my
 

PUTRAJAYA 13 Ogos – Penggajian pekerja asing hanya boleh dilakukan terhadap mereka yang masih berada dalam negara dan masih mempunyai permit kerja yang sah serta dalam sektor pekerjaan yang sama, kata Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan.

Namun begitu kata beliau, keutamaan masih kepada pekerja tempatan dalam penawaran dan pengisian kekosongan yang ada.

``Sekiranya tiada sambutan daripada pekerja tempatan maka majikan diberikan kelonggaran untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
 

sar
                                                                            M Saravanan


Sehingga Julai 2020, Kementerian Sumber Manusia merekodkan sejumlah 67,068 orang pekerja tempatan dan 4,753 orang pekerja asing telah kehilangan kerja.

Namun demikian, terdapat segelintir majikan yang mendakwa masih memerlukan sejumlah tenaga kerja asing sehingga mendesak Kerajaan untuk menarik balik pembekuan ke atas pengambilan pekerja asing yang baru.

Susulan itu, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberikan kebenaran untuk penggajian semula (re-employment) pada awal Jun sebagai langkah memaksimumkan tenaga kerja sedia ada dan sebagai usaha merancakkan semula ekonomi negara.

``Namun begitu, para majikan adalah disaran untuk memastikan bahawa pekerja asing yang bakal digajikan tersebut telah melakukan saringan COVID-19 sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan juga langkah dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19," ujarnya.

Majikan juga boleh melayari laman web MYEG di www.myeg.com.my untuk melihat senarai atau data pekerja asing yang telah menjalani saringan COVID-19.

Ini kerana pihak MYEG telah bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dalam penguatkuasaan dan pemantauan berhubung kewajipan melakukan saringan Covid19 dalam kalangan pekerja asing di Malaysia.

Selain itu, majikan yang bercadang menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lain ini perlu membuat permohonan dengan mengisi borang dan diserahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Ibu Pejabat yang bertempat di Putrajaya.

Permohonan ini boleh dilakukan dengan 3 cara iaitu menghantar sendiri borang yang lengkap ke ibu pejabat (walk-in) ATAU serahan borang secara pos ATAU melalui emel di alamat ptm@mohr.gov.my. Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleh diperoleh dan dimuat turun dari laman sesawang Jabatan iaitu www.jtksm.mohr.gov.my. - DagangNews.com