Hanya penerbangan kargo dibenarkan dari India | DagangNews Skip to main content

Hanya penerbangan kargo dibenarkan dari India

PENERBANGAN Malaysia Airlines dari India yang tular baru-baru ini hanya melibatkan penerbangan kargo. - Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mei - Malaysia hanya membenarkan penerbangan kargo untuk memasuki atau dari India buat masa ini. 

 

Ini selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), di mana berkuatkuasa pada 28 April 2021, semua penerbangan penumpang dari dan ke India dilarang memasuki Malaysia.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong membuat penjelasan berkenaan selepas terdapat dakwaan penerbangan Malaysia Airlines dari India yang dibenarkan memasuki Malaysia, tular di media sosial. 

 

“Tidak dinafikan, ia menimbulkan kegusaran ramai dan saya berharap penjelasan ini dapat meredakan keadaan. 

 

“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini. 

 

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

 

“Semua penerbangan Malaysia Airlines yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo,” ujarnya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Jelas beliau, penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier. 

 

Ujarnya, mengubah penerbangan penumpang kepada kargo (P2C) bukan sesuatu yang baharu dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selama ini susulan penularan pandemik COVID-19.

 

“CAAM, MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini. 

“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April,” katanya lanjut.

 

Malaysia menyekat pelancong bukan warganegara dari India daripada memasuki atau transit di dalam negara buat masa ini. 

 

Namun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki negara ini dari India tanpa melalui imigresen dan kastam, tambah Ka Siong. 

 

Jelasnya lanjut, semua kru termasuk juruterbang, jurutera, dan kru kabin tetap berada di atas kapal di samping MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan. 

 

Warganegara Malaysia seperti pelajar dan pekerja, termasuk keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori selama 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan. 

 

“Untuk makluman, setelah mesyuarat MKN pada 28 April 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir pada pukul 5 petang, saya telah menganjurkan perjumpaan secara maya pada jam 5.10 petang dan secara peribadi berkomunikasi dengan semua pihak yang berkepentingan berdasarkan hasil pertemuan tersebut. 

 

“Walaupun saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” tambahnya. - DagangNews.com