Skip to main content

Hapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap dengan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 18 Mei 2022.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa agar budaya 'orang tengah' dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

 

Beliau berkata orang tengah merupakan pihak yang memerah keringat petani dan nelayan selain memanipulasi harga di pasaran.

 

Perdana Menteri berkata beliau sendiri pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani.

 

“Jihad ini perlu diteruskan oleh NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian
Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya.

 

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS Ke-48 di sini malam tadi yang turut
dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Bernama melaporkan.

 

Perdana Menteri berkata inflasi makanan merupakan fenomena global akibat gangguan rantaian bekalan berpunca daripada pandemik COVID-19 yang mengekang
kegiatan pertanian sekali gus mengurangkan eksport dan keadaan bertambah buruk apabila berlaku peperangan Rusia-Ukraine.

 

“Peperangan itu memberi ancaman kepada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk.

 

Kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

 

Beliau turut menyuarakan kebimbangan jika peperangan itu berpanjangan, kesan lebih buruk terhadap input pertanian boleh berlaku seperti kenaikan harga baja, racun dan sebagainya.

 

PM

 

PM

 

 

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Malaysia ketika ini mencatat kadar inflasi 2.2 peratus iaitu lebih rendah berbanding negara lain termasuk Amerika Syarikat (8.5
peratus), United Kingdom (7), Singapura (5.4), Australia (4.5) dan Indonesia (2.6).

 

Katanya masalah dihadapi Keluarga Peladang terutama dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

 

Ismail Sabri juga berkata kerajaan mahu NAFAS dan Lembaga Pertubuhan Peladang melaksanakan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan
makanan yang mencukupi.

 

Beliau berkata arahan sama diberikan  kepada  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  supaya menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelakkan berlaku krisis makanan di negara ini.

 

Perdana Menteri turut menggesa NAFAS agar memberi ‘nafas’ baharu kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

 

Beliau juga menarik perhatian hadirin dengan pengumuman  bahawa kerajaan bersetuju menghapuskan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan asas makanan dari negara luar yang berkuat kuasa serta-merta.

 

“Ini membolehkan semua pihak mengimport bahan asas makanan ke Malaysia tanpa dimonopoli oleh golongan tertentu atau kartel yang akhirnya memanipulasi harga,” katanya. - DagangNews.com