Harga minyak cecah paras tertinggi sejak Februari 2020 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak cecah paras tertinggi sejak Februari 2020

 

TOKYO 6 Jan. - Harga minyak berjaya mencecah paras tertinggi sejak 11 bulan lalu selepas Arab Saudi ‘berjanji’ untuk mengurangkan kadar pengeluaran lebih daripada jangkaan. 

 

‘Janji’ itu diutarakan ketika perjumpaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), ketika stok minyak mentah di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan penurunan pada minggu lalu. 

 

Menurut Reuters, minyak mentah Brent melonjak hampir 1% kepada AS$54 setong, tertinggi sejak 26 Februari 2020. 

 

Dalam pada itu, niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS mencecah AS$50.24 setong, juga tertinggi sejak 26 Februari sebelum menurun ke AS$50. 

 

Arab Saudi yang merupakan pengeksport minyak terbesar dunia bersetuju untuk meningkatkan jumlah pengurangan pengeluaran minyak sebanyak 1 juta tong setiap hari (bpd) pada Februari dan Mac. 

 

Hasrat itu diutarakan selepas perjumpaan dengan OPEC dan gabungan dengan beberapa pengeluar minyak terbesar dunia, OPEC+.

 

Pengurangan itu dimasukkan ke dalam sebuah perjanjian untuk turut mendorong pengeluar minyak lain dalam kumpulan OPEC+ agar memastikan kadar pengeluaran kekal stabil.

 

Susulan penularan COVID-19, OPEC dan OPEC+ berusaha untuk menyokong harga minyak memandangkan permintaan menjunam selepas perintah berkurung dilaksanakan hampir di seluruh dunia. 

 

Dalam pada itu, Goldman Sachs dalam sebuah nota kajian mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada penghujung 2021 mencecah AS$65 setong. - DagangNews.com