Harga minyak gagal sokong ringgit | DagangNews Skip to main content

Harga minyak gagal sokong ringgit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Ringgit merosot dalam dagangan pagi ini meskipun harga minyak mentah melonjak tinggi ke paras setahun dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuaratnya semalam.

 

Mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.0680/0730 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.0550/0600. 

 

HLIB Research berkata, ringgit tidak terkesan dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang sememangnya sudah dijangkakan sebelum ini.

 

BNM mengekalkan kadar itu pada paras semasa dalam 4 mesyuaratnya berturut-turut sebelum ini. 

 

Firma itu menjangkakan mata wang tempatan akan terus melemah dalam dagangan hari ini berikutan dolar AS diniagakan tinggi semalaman menjelang cuti hujung minggu. 

 

"Dolar AS mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh 3 bulan sejajar dengan hasil perbendaharaan hasil AS yang tinggi. 

 

"Tetapi, kenaikan ini mungkin terbatas oleh peningkatan harga minyak mentah," katanya dalam nota kajian. 

 

Menurut Reuters, harga minyak mentah naik lebih daripada 4% pada Khamis, mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun selepas OPEC dan sekutunya bersetuju mengekalkan pengeluaran pada April. 

 

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih lagi belum stabil.

 

Brent naik 4.2% kepada AS$66.74 setong, selepas mencecah AS$67.75, tertinggi sejak Januari 2020. 

 

West Texas Intermediate pula meningkat 4.2% kepada AS$63.83 setong, juga mencecah paras tertinggi Januari 2020 sebelum itu pada AS$64.86 setong. - DagangNews.com