Harga minyak hampir cecah paras tertinggi 3 bulan | DagangNews Skip to main content

Harga minyak hampir cecah paras tertinggi 3 bulan

 

 

 

SINGAPURA 24 Nov. - Harga minyak terus melonjak pada Selasa selepas pendedahan mengenai vaksin COVID-19 ketiga sekali gus meningkatkan harapan terhadap pemulihan dalam permintaan minyak. 

 

Menurut Reuters, niaga hadapan Brent naik 3 sen atau 0.1% kepada AS$46.09 setong setakat 0113 GMT manakala West Texas Intermediate melonjak 0.3% atau 11 sen kepada AS$43.17 setong. 

 

Kedua-dua penanda aras harga minyak ini meningkat sekitar 2% pada Isnin setelah menokok 5% minggu lalu. 

 

Penganalisis Kanan Pasaran di OANDA, Edward Moya berkata, harga minyak mengukuh menghampiri ke paras tertinggi dalam tempoh 3 bulan selepas kejayaan ujian vaksin yang ketiga. 

 

"Ini adalah lebih baik berbanding jangkaan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah," katanya. 

 

Semalam, AstraZeneca berkata, ujian vaksin COVID-19 yang dibangunkannya mempunyai keberkesanan 70% dalam percubaan utama dan boleh meningkat sehingga 90%.

 

Perkembangan ini secara tidak langsung memberi harapan kepada dunia untuk memerangi wabak COVID-19 memandangkan vaksin yang dikeluarkan firma itu adalah lebih murah, mudah diagihkan dan lebih pantas untuk ditingkatkan berbanding pesaingnya. 

 

Malah, ia adalah satu hasil percubaan yang positif selepas Pfizer/BioNTech dan Moderna. 

 

Pada masa sama, ketidaktentuan yang membelenggu keputusan pilihan raya AS juga semakin pudar apabila Presiden Donald Trump semalam mula membenarkan para pegawai meneruskan peralihan kepimpinan kepada Joe Biden, sekali gus memberi akses kepada sebarang taklimat dan dana meskipun Trump berikrar untuk terus menentang keputusan tersebut. 

 

Data awal undian Reuters menunjukkan inventori minyak mentah AS pada minggu lalu berada paras rendah manakala stok penyulingan mula semakin menurun bagi minggu ke-10 berturut-turut. - DagangNews.com