Skip to main content

Harga minyak sawit Februari diunjur RM3,000-RM3,500

Minyak sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Harga minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan Februari diunjur sekitar RM3,000 hingga RM3,500 satu tan.

 

CGS-CIMB Research berkata, unjuran itu dibuat memandangkan unjuran terhadap inventori yang rendah di Malaysia dan megambil masa untuk pulih.

 

"Purata harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat 3.5% bulan ke bulan dan 24% berbanding tahun lalu kepada RM3,748 setiap tan pada Januari susulan kebimbangan mengenai tahap inventori minyak sawit yang rendah.

 

"Kami mengunjurkan harga MSM sekitar RM3,000-RM3,500 setiap tan pada bulan Februari memandangkan unjuran inventori yang rendah di Malaysia.

 

"Kami menjangkakan bekalan minyak sawit akan pulih pada suku kedua 2021 kerana keadaan cuaca yang kembali baik," jelas CGS-CIMB Research.

 

Hasil tinjauan CGS-CIMB Futures mendapati pengeluaran MSM negara berkemungkinan akan menurun 14% berbanding bulan lalu (-2.1% yoy) kepada 1.15 juta tan pada Januari 2021.

 

Eksport minyak sawit juga mungkin menurun sebanyak 35% bulan ke bulan dan 13% tahun ke tahun.

 

Susulan itu, CGS-CIMB menjangkakan inventori minyak sawit negara akan meningkat 7.5% berbanding bulan lalu dan menurun 22.5% berbanding tahun lalu kepada 1.36 juta tan pada akhir Januari 2021.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya berpendapat bahawa pengeluaran minyak sawit yang rendah adalah disebabkan oleh kekurangan pekerja asing, faktor musim dan hujan lebat daripada biasa seperti La Nina.

 

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) sendiri menyatakan tindakan pembekuan pekerja asing akibat pandemik COVID-19 menyebabkan kekurangan berlipat ganda tenaga kerja dalam sektor perladangan kepada sekitar 70,000 berbanding hanya 36,000 tahun lalu.

 

Susulan itu, kerugian purata pengeluaran ladang di Malaysia dianggarkan sekitar 20% akibat kekurangan tenaga kerja. - DagangNews.com