Harga minyak sawit mentah boleh jatuh sehingga RM4,000 satu tan metrik | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah boleh jatuh sehingga RM4,000 satu tan metrik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - RHB Investment Bank mendapati harga minyak sawit mentah telah merosot melebihi 30% dalam tempoh 3 minggu lalu susulan penarikan balik larangan eksport dan pengeluaran permit eksport 'flush out' di Indonesia bagi mereka yang ingin mendapatkan pengecualian daripada keperluan Obligasi Pasaran Domestik (DMO).

 

Bagaimanapun, firma itu percaya terhadap aktiviti spekulatif yang sedang berlaku walaupun harga minyak sawit menurun secepat ia meningkat berikutan penarikan balik larangan eksport, memandangkan kuantum penurunan adalah lebih besar daripada jangkaan.

 

Menurutnya, paras stok minyak sawit mentah kekal ketat dalam tempoh 2 hingga 3 bulan akan datang, berkemungkinan sehingga suku ketiga, sekali gus menyokong harga minyak sawit pada paras semasa.

 

Namun, katanya, apabila asas bertambah baik selepas itu dengan andaian bahawa masalah kekurangan buruh dapat diselesaikan dan keluaran minyak biji-bijian Ukraine dapat dieksport keluar, harga minyak sawit mentah boleh jatuh ke paras yang lebih rendah sekitar RM4,000 hingga RM4,500 satu tan metrik bagi sepanjang tahun ini.

 

"Anggaran harga kami sebanyak RM5,300 satu tan metrik secara teknikal menganggap purata harga sebanyak RM4,300 untuk separuh kedua 2022, yang boleh melepasi aras terendah, berdasarkan trajektori semasa," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan, memandangkan terdapat lebih banyak risiko penurunan pada separuh kedua 2022 berikutan harga minyak minyak sawit yang terus menyederhana. 

 

"Kami kini sedang menyemak harga sasaran syarikat perladangan di bawah liputan kami, memandangkan kami sedang menilai senario semasa. 

 

"Pilihan kami bagi sektor ini ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), yang mampu bertahan mengharungi tekanan harga semasa dengan lebih baik," tambahnya.

 

Firma itu berkata, harga minyak sawit mentah kini diniagakan dengan pengurangan yang lebih besar berbanding minyak kacang soya pada AS$419 satu tan metrik. 

 

"Dengan ini, kita sepatutnya melihat permintaan kembali dari negara pengguna dalam jangka pendek, terutama dari negara yang sensitif harga seperti China, India, Pakistan dan Bangladesh, memandangkan tahap stok yang sangat rendah pada masa ini," jelas firma itu. - DagangNews.com