Harga minyak sawit tinggi dijangka pacu hasil United Malacca bagi FY23  | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit tinggi dijangka pacu hasil United Malacca bagi FY23 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Jun - United Malacca Bhd. (UMB) dijangka merekodkan hasil yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) dipacu harga minyak mentah dan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi dari ladang sawit di Indonesia.

 

Ini membolehkan CGS-CIMB Research menyemak naik harga sasaran UMB kepada RM5.55 daripada sebelum ini pada RM5.42 sesaham.

 

Bagaimanapun, firma itu mengulangi saranan 'pegang' terhadap kumpulan kerana percaya UMB kelihatan cukup bernilai pada tahap semasa.

 

"Kami turut menaikkan unjuran untung bersih teras bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 32 hingga 65% bagi mencerminkan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi masing-masing pada RM4,645 dan RM3,452 satu tan metrik.

 

"Pemangkin kepada penarafan semula bergantung kepada pembukaan nilai estet kumpulan menerusi jualan estet," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 April 2022, UMB merekodkan untung bersih sebanyak RM18.72 juta, berbanding kerugian bersih RM11.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga berkembang 38.64% kepada RM147.45 juta daripada RM106.36 juta disokong operasi kumpulan di Malaysia yang merekodkan keuntungan perladangan berjumlah RM42.7 juta, meningkat 180% daripada RM15.2 juta sebelum itu.

 

Pada suku semasa itu juga, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi disebabkan purata harga minyak sawit mentah yang tinggi sekitar RM6,034 satu tan metrik berbanding RM3,454 satu tan metrik bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

CGS-CIMB berkata, pengeluaran buah tandan segar UMB pada suku berkenaan terus terjejas akibat masalah kekurangan buruh. 

 

"Harga minyak sawit mentah yang dicapai untuk suku tersebut adalah 6% lebih rendah daripada harga rujukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk tempoh yang sama, menunjukkan bahawa UMB sebahagian besarnya menjual minyak sawit mentah secara spot untuk suku tersebut," katanya. 

 

Setakat 11.56 pagi ini, harga saham UMB menokok 1 sen atau 0.18% kepada RM5.50 dengan 10,400 saham diniagakan. - DagangNews.com