Harga permintaan hartanah turun 1.34% suku ketiga - PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Harga permintaan hartanah turun 1.34% suku ketiga - PropertyGuru

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Prospek ekonomi Malaysia terhadap pasaran hartanah masih dihantui oleh kesan wabak COVID-19 dan ini telah menjejaskan prestasi sektor tersebut pada suku ketiga 2020. 

Laporan Indeks Pasaran Hartanah (MPMI) PropertyGuru Malaysia mendedahkan tren penurunan dalam harga permintaan merentasi semua empat pasaran utama termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Harga permintaan hartanah secara keseluruhan di Malaysia turun 1.34% pada suku ini, berbeza dengan kenaikan 0.38% yang dicatatkan pada suku kedua dan kenaikan 0.63% pada suku pertama 2020. 

Malah menurut laporan itu, untuk pertama kalinya tahun ini, semua pasaran utama mengalami penurunan harga, menunjukkan ini mungkin akan turun dan kekal rendah dalam satu tempoh yang panjang.

"Dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri, kami percaya aktiviti komersial semasa dan masa depan akan terjejas. Ini akan menjejaskan harga permintaan dan juga keseluruhan pasaran hartanah secara negatif," katanya. 

Berdasarkan laporan berkenaan, Johor mencatat penurunan paling tinggi pada suku ketiga, di mana harga permintaan turun 2.97% manakala Kuala Lumpur dan Selangor juga memaparkan angka lemah dengan penguncupan masing-masing 1.35% dan 1.04%.

Pulau Pinang mencatat penurunan sedikit, iaitu 0.64% pada suku ini. Dengan sedikit penurunan dalam harga permintaannya, Pulau Pinang adalah destinasi stabil bagi mereka yang ingin menjaga nilai aset melalui pelaburan hartanah. 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez

 

Menurut Laporan Pasaran Hartanah Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) Separuh Pertama 2020, Indeks Harga Rumah Malaysia menyaksikan penurunan suku tahunan yang sedikit, iaitu 0.7% berbanding suku pertama.

"Laporan di atas menunjukkan bahawa harga permintaan mungkin terus menurun pada bulan-bulan akan datang. 

"Ini secara tidak langsung akan membuka permintaan bagi golongan milennial yang mencari rumah mampu milik," katanya.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, kajian terbaru mereka mendapati 81% rakyat Malaysia mempunyai keinginan untuk memiliki kediaman sendiri pada 2021. 

"Unit-unit hartanah dengan harga di bawah RM700,000 mendapat permintaan yang banyak kerana ramai yang berminat untuk naik taraf atau mengejar ruang yang lebih besar setelah mengalami ketidakselesaan semasa perintah kawalan," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, dengan kehilangan pendapatan dan pekerjaan yang disebabkan oleh COVID-19, pasaran hartanah dan ekonomi pada umumnya memerlukan masa untuk pulih. 

Berdasarkan Laporan MPMI, secara keseluruhannya bekalan hartanah baru pulih dan meningkat sebanyak 19.80% pada suku ini dengan Selangor mencatatkan peningkatan terbesar sebanyak 23.55%

"Walaupun negeri ini menghadapi masalah rumah tidak terjual kedua terbesar di negara ini, namun pengawal selia pasaran terus yakin akan prospek jangka panjang negeri ini," katanya. 

Sheldon berkata, dengan iklim harga hartanah yang lebih rendah pada tahun hadapan, diharapkan aktiviti pembelian rumah terutama dalam kalangan generasi baharu semakin meningkat. - DagangNews.com