Harga telur jatuh 38% semasa PKP - Ronald Kiandee  | DagangNews Skip to main content

Harga telur jatuh 38% semasa PKP - Ronald Kiandee 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mendedahkan bahawa harga telur menurun sebanyak 38% ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bagaimanapun, kos untuk menghasilkan telur itu didapati meningkat pada tempoh sama. 

Berdasarkan harga pasaran bagi telur, terdapat penurunan signifikan sebanyak 38% kepada RM0.21 setiap sebiji telur pada November 2020 jika dibandingkan RM0.34 untuk sebiji telur pada April 2020. 

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ini sekali gus telah menyebabkan penurunan margin keuntungan bagi pengeluar telur.

Itu adalah jawapan bertulis Ronald kepada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alia yang mempersoalkan sejauh mana pandemik COVID-19 telah memberi impak ke atas sektor pengeluaran telur tempatan di mana industri itu didakwa kerugian jutaan ringgit susulan peningkatan harga bahan makanan ayam. 

 

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

 

Dalam jawapan bertulis sama, Ronald menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah menjejaskan kesemua aktiviti ekonomi di Malaysia termasuk industri telur ayam dengan permintaannya merudum serta harga dedak global pula meningkat. 

Jelas beliau, pelaksanaan PKP menyebabkan sektor pemakanan mengehadkan operasi mereka yang seterusnya mendorong penurunan permintaan dan penggunaan telur oleh restoran, hotel, kantin sekolah dan sebagainya. 

Bagaimanapun, pengeluaran telur kekal pada tahap sama dan ini menyebabkan lambakan telur di sektor penternakan sehingga menyebabkan kemerosotan harganya dalam pasaran. 

Ketika harga telur jatuh, para pengeluar terpaksa berdepan kos pengeluaran yang meningkat kerana harga dedak melonjak antara 4% hingga 5% dengan kosnya pula merangkumi 70% daripada harga pengeluaran. 

Kata Ronald, peningkatan harga bahan makanan ayam juga didorong oleh lonjakan harga bahan asas ayam seperti jagung yang meningkat sebanyak 15.2% kepada RM1,100 setiap tan pada November 2020.

Harga itu meningkat daripada RM955 setiap tan pada April 2020. 

Kacang soya pula meningkat 9.4% kepada RM2,100 setiap tan pada November 2020 berbanding RM1,920 setiap tan pada April 2020, jelas Ronald. - DagangNews.com