Harga timah lonjak untung bersih Malaysia Smelting Corp. meningkat 3 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Harga timah lonjak untung bersih Malaysia Smelting Corp. meningkat 3 kali ganda

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - Malaysia Smelting Corp. Bhd. (MSC) merekodkan untung bersih sebanyak RM64.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat hampir 3 kali gandar daripada RM22.1 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Prestasi lebih baik itu terutamanya didorong dengan pergerakan harga purata timah yang meningkat 80% kepada RM180,006 daripada RM100,115 satu metrik tan pada tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia menyaksikan hasil juga meningkat 30.3% tahun ke tahun kepada RM359.5 juta berbanding RM275.9 juta bagi tempoh sama 2021.

 

Segmen peleburan bijih timah kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM27.7 juta pada suku berkenaan, mewakili peningkatan hampir 3 kali ganda berbanding RM10.4 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, operasi perlombongan bijih timah juga mendapat manfaat daripada harga bijih timah yang tinggi dengan keuntungan bersih meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM43.7 juta daripada RM19.6 juta pada suku pertama 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, prestasi itu mencerminkan permulaan yang baik untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), berdasarkan kemajuan operasi dari tahun sebelumnya.

 

Malah, katanya, harga timah juga terus meningkat pada suku pertama 2022 akibat daripada pencerobohan Rusia-Ukraine.

 

"Bagaimanapun, kami kini melihat harga komoditi, termasuk bijih timah, semakin perlahan ekoran kebimbangan terhadap gangguan kekurangan bekalan disebabkan peningkatan inventori. 

 

"Kami menjangkakan harga timah akan stabil dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana, walaupun pada harga yang lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik," katanya.

 

Dalam tempoh jangka masa panjang, beliau kekal optimis dengan prospek timah, memandangkan permintaan  dijangka melebihi bekalan.

 

"Ini sejajar dengan peningkatan penggunaan elektronik dalam kalangan pengguna dan aplikasi timah yang meningkat untuk pelbagai kegunaan, antara lain, termasuk pemasangan fotovoltaik solar dan kenderaan elektrik," tambahnya. -DagangNews.com