Skip to main content
DagangNews.com
Kolum WAINUIOMATA - 17 December 2020

Hari Pertama Menjadi Setiausaha

 

 

SAYA tidak percaya apa yang saya dengar. Hamed melantik saya sebagai setiausahanya! Saya tidak keruan dan ternganga. Sepanjang saya bekerja, saya tidak pernah mengimpikan sekali pun untuk menjadi seorang setiausaha!

 

Setiausaha kepada CEO Dubai Internet City, orang yang paling berkuasa dan paling glamor di Dubai waktu itu. Waktu itu semua orang bercerita mengenai Dubai Internet City yang baru bermula pada tahun 2000. Bangunan dalam pembinaan berhampiran istana musim panas Sheikh Mohamad di kawasan yang tiada orang. Jauh kira-kira 10 km dari Dubai.

 

aaa

 

Hamed hanya mengarahkan kepada saya tanpa bertanya apa-apa kepada saya. Saya senyap dan masih berfikir. Pagi itu saya duduk di kerusi setiausaha yang kosong. Hamed terus melepaskan saya dan dia sibuk dengan tetamu. Kedua-dua rakan dari Amerika Syarikat dan Sweden terperanjat, sebagaimana saya yang masih tidak percaya. Mereka ke tempat setiausaha dan bertanya kepada saya, apa sudah jadi?

 

Saya tidak tahu. Arahan Hamed mesti diterima bulat-bulat. Siapa yang mimpikan untuk menjadi setiausaha. Dengan kerja sekarang yang sibuk sudah cukup.

 

Telefon pun tidak berhenti berbunyi dari satu panggilan ke satu panggilan. Mahu bertemu dengan Hamed atau urusan lain. Saya mula mencari pen dan kertas untuk menulis. Mula-mula tidak dapat membiasakan diri. Nasiblah ada buku apoinmen yang disimpan. Nah! Banyak apoinmen.

 

Apakah kerja saya sebagai setiausaha hanya menjawab telefon? Bagaimana dengan sarapan Hamed yang selalu disediakan oleh setiausaha? Bagaimana dengan urusan lain?

 

Semua persoalan ini berlegar di minda ketika saya berkemas berkemas dan membetulkan tempat setiausaha yang kucar-kacir. Setiausaha yang sebelum ini meninggalkan pejabat tanpa pesan. Hilang begitu sahaja. Saya pun tidak meminta nombor telefon. Dia ada anak kecil, saya faham kenapa dia terus meninggalkan kami.

 

Hamed keluar dari bilik dan berkata ada hal yang perlu diuruskan. Dia balik lepas pukul 4. Sempat berpesan tentang makan malam yang telah disediakan untuk saya.

 

Jam baru 10 pagi. Saya terpaksa menjaga pejabatnya. Hamed memandu kereta sendiri walau bertaraf pengarah urusan, CEO dan pengarah kepada lima syarikat. Orang Dubai tidak kisah pasal itu kerana kereta yang mereka miliki semua mahal-mahal.

 

Kemudian ramai setiausaha datang bertanya khabar tentang setiausaha yang pergi. Saya menjawab tidak tahu dan saya yang mengganti tempatnya. Mereka lagi terkejut dan terperanjat. Saya ber jawatan yang lebih tinggi ranking, kini menjadi seorang setiausaha.

 

Saya masih tidak percaya!

 

Setiausaha-setiausaha itu muda dan cantik-cantik orangnya. Nasib baiklah mereka mudah diminta tolong dan sama berkemas seketika. Ada dalam lima orang, terdiri dari Arab-arab luar, majoriti dari Lebanon.

 

Mereka berpesan supaya menelefon kalau ada masalah. Saya berterima kasih pada kebaikan mereka. Rupa-rupanya sesama setiausaha menjaga kebajikan masing-masing dan saling membantu.

 

aaa

 

Saya bekerja sebagai pengurus kanan pembangunan bisnes. Kerja itu pun saya buat. Sibuk untuk mencari rakan niaga Dubai Internet City. Syarikat AT&T, Singtel dan French Telecom akan datang ke Dubai dua minggu lagi. Pelbagai rancangan untuk memilih dan mengenal pasti.

 

Bila waktu makan tengahari ada seorang lelaki menghantar makanan untuk saya. Lega kerana saya tidak boleh meninggalkan pejabat. Dalam bilik utiliti sudah lengkap dengan peti sejuk, tempat memasak dan bahan makanan seperti limau dan epal. Begitu rapi Hamed menjaga makan, dia sedang diet.

 

Saya bersolat dalam pejabat. Telefon terus berbunyi. Dari merata dunia. Semua mahu bertemu Hamed Kazim. Saya ambil nama dan nombor telefon dahulu. Saya tidak tahu apa kerja dan tugasan Hamed. Ada yang bercakap lama dengan saya. Ada bercakap sekejap. Ada mengomel dengan pelbagai suara.

 

Saya sebelum itu di TV3 dipinjamkan ke Mega TV sebagai pengarah Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah). Saya hampir setiap hari dari Kota Bharu, Kuala Terengganu ke Kuantan. Kemudian terbang ke Kuching dan Kota Kinabalu atas urusan bisnes dan pemasaran.

 

Saya berjumpa dengan semua VIP. Timbalan Menteri Besar Kelantan, MB Terengganu dan Pahang. Begitu juga di Kuching dan Kota Kinabalu. Pernah semeja dengan Tun Khalil Yaacob dan tidak tahu dia mempunyai tali persaudaraan. Selalu juga keluar.

 

Selepas Asar Hamed kembali ke pejabat. Dia memanggil saya masuk ke pejabat.

 

Hamed berkata, “Kamu pandai menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Kamu rakyat Malaysia yang sopan serta amanah, kuat kerja, dilligence dan suka menegur sapa sesiapa sahaja. Kamu sesuai untuk menjadi setiausaha sementara!”

 

Hamed memuji. Saya rasa lega bila disebut `sementara.

 

aaa

 

Saya adalah penulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang baik. Saya menulis cerpen, puisi, novel, artikel, esei dan kolum sejak sekolah, universiti hingga bekerja di TV3. Saya masih menulis ketika itu. Tulisan-tulisan saya muncul di semua penerbitan tanahair dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan lain-lain.

 

Saya bertuah untuk dilahirkan dengan kepandaian menggunakan otak kanan dan otak kiri. Menjadi orang korporat dan orang sastera.

 

“Saya bekerja seperti biasa dengan kerja pembangunan bisnes?” tanya saya kepada Hamed.

 

“Ya, seperti biasa. Tetapi kamu dahulukan kerja setiausaha ini sebab saya tiada di pejabat. Saya banyak syarikat. Sementara itu kamu iklankan kerja kosong sebagai setiausaha!”

 

Saya akur dengan kerja sementara ini dan mencari setiausaha baru.

 

“Iklankan di semua akhbar Arab sahaja tidak kira di mana!”

 

Saya tahu kerja mencari setiausaha bukan mudah untuk orang seperti Hamed. Dia memilih setiausaha yang pantas dan pintar, bukan sahaja cantik. Iklan disiarkan di dalam semua akhbar Arab dalam dan luar negara. Tiba-tiba rasa gembira kerana dapat berkenalan dengan pelbagai setiausaha.

 

“Saya bangun sebelum solat subuh untuk tahajjud. Kemudian ke masjid. Lepas itu berjoging. Terus ke pejabat. Pukul 12 saya dan bertemu isteri-isteri saya. Lepas asar ke pejabat sampai 10 malam. Awak boleh balik bila saya balik!”

 

Wow! Hamed Kazem seorang yang menjaga displin begitu rupa. Isteri-isteri. Ada berapa isteri? “Jangan lupa saya ada 4 isteri!”

 

Saya terkejut di hari pertama menjadi setiausaha!!!

 

(Bersambung)

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Telekom Malaysia tidak endah pelawaan Dubai

Orang lain mabuk, orang lain pula kena bayar

Bila UAE longgarkan undang-undang Islam

Pengerusi Media Arab yang Mabuk

Tinggal setahun di apartmen depan kubur luas

TIDAK LAGI DITANYA GAJI SEMASA MAKAN TENGAHARI

Lapor diri di Dubai Internet City pada 2000

Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags