Hari Raya Dunia Alam Melayu itu INDAH
Di SAAT Aidil Fitri semakin hampir, saya semakin rindukan Dunia Alam Melayu. Hari Raya semasa saya kecil di kampung begitu disulami memori tramisi budaya Melayu. Juadahnya. Bahasanya. Lagunya. Busana dan pemandangan balık kampung. Dunia Alam Melayu itu indah. Berilmu. Lestari alam semulajadi. Satu peradaban yang ‘genteel’. Bangsa yang berani merantau. Menjelajah lautan.
Nenek dan To’Ki, Mak dan Arwah Encik memastikan satu kelainan setiap kali pulang ke kampung. Dari haruman bakawali ke pesta memasak lemang dan wajik di laman dalam kawah yang sedepa besarnya - betapa seronoknya berhari raya.
Hakikatnya, Dunia Melayu yang saya kenali itu kini hampir hilang dari korpus memori Nusantara. Buktinya? Bahasa Melayu tidak lagi mendapat penghormatan yang dikecapi dahulu. Walaupun lebih 300 juta penduduk dunia berbahasa Melayu, ia sering teringgal dalam senarai bahasa terpenting di dunia. Tempat ke-10, selalu disenaraikan sebagai Bahasa Indonesia, walaupun Indonesia mengambil Bahasa Melayu asalnya sebagai bahasa nasional.
Di zaman ‘content is king’ ini, kita ketinggalan menghasilkan isi kandungan berunsurkan Dunia Melayu. Filem Melayu. Novel Melayu. Animasi Alam Melayu. eGame Dunia Nusantara... Kita pula khayal menonton filem terbaik dari Korea, China, Turki. Saya pun sama. Masih belum gigih semangat untuk menghasilkan filem atau drama berunsur sejarah Melayu?
Pantun yang diagungkan pemuisi seluruh dunia seperti Victor Hugo, Overbeck dan hari ini, George Voisset dan Henry Aveling kian malap. Apatah lagi syair. Gurindam. Adalah memadai dibincangkan di dunia akademia, di wacana dan minggu bahasa? Manakah pantun dalam masyarakat kita hari ini?
Wayang Kulit dan Makyung pun jarang sekali kita dapat tontoni, di TV pun jarang. Sepatutnya ada teater khas di ibu negara untuk seni budaya Melayu. Akademi Seni kita mengutamakan seni balet, kontemporari dan bharatnatyam seiring zapin, inang dan joget.
Apa dia Makyung, Mek Mulung dan Jikey? Gamelan juga tidak diperkenalkan di semua sekolah, cuma di universiti. Kraf Melayu sahana yang mendapat sedikit perhatian. Dari Seri Paduka Baginda Permaisuri Yang di-Pertuan Agong, dan lain-lain wanita hebat di Malaysia ini.
Kita pernah mendengar bahawa adat berpantang Melayu ternyata antara perubatan ibu bersalin terbaik di dunia - itupun kita tidak dapat bangunkan sebagai industri orang Melayu yang lumayan. Apa lagi untuk menjana ekonomi untuk satu pekerjaan yang disebut dalam Hikayat Melayu iaitu Mak Bidan yang tahu serba serbi rahsia saintifik kelahiran.
Buktinya? Ada istilah yang menunjukkan pemahaman yang mendalam - ubun, meroyan, songsang dan banyak lagi. Herbologi itu bidang perubatan alternatif yang telah diamalkan berkurun lamanya. Teknologi bedil itu satu konsep nyata manuskrip melayu diangkat oleh UNESCO.
Ilmu pelayaran yang juga telah kita tinggalkan… Waris yang terdahulu sungguhnya mengharapkan kita menerajui ilmu bintang dań langit, lautan dan mempelopori ilmu saintifik kerana mereka meninggalkan manuskrip Merayu yang cukup hebat. Kita pula tertipu dengan penjajah membelakangkan tulisan jawi…dań segala ilmu di dalam manuskrip itu terus dilupakan.
Apabila ada yang melaungkan tak perlulah tulisan jawi di papan tanda Malaysia, apa jawapan kita? Ya, pada tahun 2008, ada ahli politik telah mendesak bahawa, adalah lebih baik untuk menukar tulisan Jawi yang ditulis di setiap papan tanda jalan di sekitar Kuala Lumpur kerana kerana beliau merasakan bahawa tidak ramai orang di Kuala Lumpur yang tahu berbahasa Melayu dan tulisan Jawi.
Alhamdulillah, DBP kini mempergiatkan usaha menyelidik Manuskrip Melayu dalam bidang khusus seperti Ilmu Perkapalan dan Saintifik.
Hilang jati diri
Malangnya tidak kurang pula naratif berbaur kebencian timbul dari anak Melayu sendiri. Inilah hakikatnya. Contohnya sudah lazim dalam dunia medsos yang tidak segan pada adab dan adat lagi. Bolehkah kita salahkan mereka?
Sebenarnya adalah susah untuk mencintai sesuatu yang tidak pernah kita kenali. Maka kita dengar kenyataan-kenyataan yang mengguris perasaan...
- Mana kehebatan Dunia Melayu. Mana bangunan, mana candi, mana buktinya?
- Hang Tuah? Siapakah dia? Dia berasal dari Chinalah...
- Apalah nak dibanggakan dunia Melayu. Parameswara pengasas Melaka itupun bukannya Melayu.
- Bahasa Melayu itu campuran segala Bahasa. Asalnya hanya 7 perkataan.
- Sejarah Melayu itu bukan sejarah. Cerita dongeng sahaja. Bukan Bukti kukuh Sejarah. Apatah lagi Hikayat Hang Tuah…
Namun jika membaca dan menghayati sastera lama, kita dapat menyelusuri Dunia Melayu. Sedikit demi sedikit, alam Nusantara ini diperkupaskan memperlihatkan keindahan yang tak terperi.
Oleh kerana itulah, saya cuba ketengahkan kehidupan masa lalu dalam antologi, novella dan novel saya. Biarlah saya cintakan bangsa dan bahasa, sambil saya mengenali bahasa dunia yang indah-indah. Biar saya letakkan Tun Fatimah, Walinong Sari dan Cik Siti Wan Kembang serta Onangkiu, Tun Teja dan Puteri Santubong dalam lembaran yang sama memuja Helen of Troy, Wu Zetian dan Diana, Dewi Perang tersohor.
Lepas ini saya akan terus menulis untuk mengingatkan kita Bahtera Melayu. Rentaka dań Ishtinggar. Madu tualang dan keringkam. Makyung dan Bangsawan.
Beginilah apabila Syawal tiba. Perasaan rindukan kampung halaman lebih terasa apabila tidak dapat pulang. Rindukan adat sebenarnya. Tahun ini walaupun tidak ke mana, kami memasang panjut sekeliling rumah. Dan lampu yang berkemerlipan di laman. Tidak dapat membakar lemang, tapi saya akan sajikan ketupat di taman kecil kami. Rindu kampung halaman Chenor, Pahang.
Salam Ramadan. Selamat Hari Raya.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara. Emel : [email protected]
NOTA PENGARANG:
Artikel DARI HIKAYAT KITA hari ini dianggap sebagai prelude kepada permulaan pengkaryaan Puan Ninot Aziz di dalam DagangNews.com yang telah dipersetujui ditetapkan pada setiap Sabtu. Sidang Editorial Dagang News amat gembira dan berbangga atas kesudian Puan Ninot menjadikan DagangNews.com sebagai wadah penulisannya dalam hal ehwal kebudayaan Melayu.
Sememangnya menjadi matlamat DagangNews selain berperanan menyajikan berita-berita berkaitan ekonomi, perniagaan dan korporat, aspek-aspek kebudayaan dan keseniaan serta kemanusiaan diberi perhatian sewajarnya juga untuk tatapan para pembaca sekalian. Kehadiran Puan Ninot di dalam barisan panel kolumnis, menyempurnakan wawasan portal berita ini. - Johardy Ibrahim