Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 25 October 2021

Wasiyyah

HARTA PUSAKA SEBENARNYA TIDAK BOLEH DIRANCANG !

 

 

Ramai masyarakat masih terkeliru bab ini. Banyak saya jumpa posting dan video di media sosial yang mempromosikan perancangan harta pusaka. Malah di media arus perdana elektronik dan bercetak pun, ada penceramah atau penulis yang menggunakan istilah perancangan harta pusaka.

 

Sesetengah orang kata isu ini tidaklah sebesar mana kerana ia hanya melibatkan istilah. Pada saya isu ini memang tidak besar kepada orang yang faham di dalam bidang ini tetapi bagi masyarakat umum yang tidak faham, penggunaan istilah perancangan harta pusaka ini boleh mengelirukan mereka.

 

Semenjak 1998, saya gigih menjelaskan isu ini kepada masyarakat. Namun kerana kekeliruan  yang masih timbul dalam masyarakat, izinkan saya sekali lagi menjelaskan isu ini buat ke sekian kalinya. Semoga dapat difahami dengan baik Insya-Allah.

 

Perkara pertama yang kita perlu faham dalam Membincangkan isu ini  ialah apakah perbezaan di antara istilah harta dan harta pusaka. Ini adalah perkara asas kepada sesiapapun yang ingin memahami bidang ini. Sekiranya perkara asas ini pun gagal dikuasai, maka perkara lain lebih sukar difahami.  

 

Harta ialah apa sahaja aset yang berdaftar dan secara hakikinya dimiliki oleh kita. Kita masih hidup hari ini maka kitalah yang  mempunyai kuasa untuk berbuat apa sahaja ke atas harta itu. Kita nak jual, hibah, wasiat, pajak atau apa sahaja transaksi, terserahlah kepada kita kerana kita yang berkuasa ke atas harta itu.

 

Kita ada wang RM1 juta di dalam akaun kita. Kita keluarkan semua wang itu dan belanja sesuka hati kita. Tiada sesiapa boleh menyekat kita dari berbuat demikian kerana wang itu kita yang punya. Suka hati kitalah apa yang ingin kita buat ke atasnya.

 

Sebaliknya sebaik sahaja kita mati, harta yang menjadi milik kita tadi sudah pun bertukar status menjadi  harta pusaka. Kerana kita sudah mati maka pastilah kita tidak boleh berbuat apa-apa ke atas harta pusaka kita. Orang yang berhak ke atas harta pusaka itu  ialah waris-waris kita mengikut hukum faraid.  

 

Apa pula perbezaan di antara perancangan harta dan pengurusan harta pusaka yang menjadi fokus perbincangan kita kali ini?

 

Merancang harta bermakna  semasa kita sebagai pemilik harta yang masih hidup hari ini menggunakan peluang yang diizinkan hukum syarak untuk kita mengagihkan harta kita kepada siapa yang kita ingini.

 

 

Wasiyyah

 

 

Instrumen perancangan harta yang biasa digunakan oleh umat Islam Malaysia ialah seperti hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah.

 

Ada di antara instrumen ini sudah pun diperundangkan (dikanun) secara spesifik seperti wasiat dan wakaf. Instrumen ini mempunyai enakmennya yang tersendiri di negeri-negeri tertentu.  

 

Namun ada juga instrumen ini yang hanya diperuntukkan secara umum di dalam undang-undang Syariah Malaysia seperti peruntukan untuk hibah dan harta sepencarian.

 

Apa pun, jika kita berhasrat mengagihkan harta kita kepada sesiapa yang kita ingini (merancang harta) , maka segala peruntukan di dalam hukum syarak dan undang-undang syariah perlu dipatuhi bagi menjadikan instrumen itu sah dan berkuatkuasa.   

 

Di Malaysia, kita juga boleh memilih instrumen amanah sebagai pilihan merancang harta. Walaupun instrumen amanah itu lebih menjurus kepada pelaksanaan mengikut undang-undang sivil di Malaysia, namun ia juga wujud di dalam muamalat melalui konsep wakalah.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami menerapkan prinsip syariah di dalam aplikasi instrumen amanah, unik bukan? Instrumen amanah kami berkuatkuasa mengikut undang-undang sivil namun dalam masa yang sama patuh kepada semua prinsip Syariah.

 

Mengurus harta pusaka pula bermaksud tuan punya harta itu sudah mati dan kita sebagai warisnya  melalui proses perundangan untuk menuntut harta pusaka yang ditinggalkan.

 

Proses ini dibuat di Pejabat Pusaka Kecil (bagi kes harta pusaka bernilai kurang dari RM2 juta dan mempunyai harta alih) , Mahkamah Tinggi Sivil (bagi kes harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta) dan Amanah Raya Berhad (jika kes melibatkan harta alih sahaja di bawah nilai RM600,000).

 

Bila disebut pengurusan harta pusaka ia merujuk kepada spesifik perkara-perkara yang berkaitan dengan proses perundangan yang perlu dilalui waris sehinggalah mereka menerima harta pusaka itu.

 

 

Wasiyyah

 

 

Betulkah harta pusaka boleh dirancang ?

Kesimpulannya, harta pusaka memang tidak boleh dirancang dari segi agihannya. Ia hanya boleh diurus melalui proses perundangan di atas. Siapa yang berhak ke atas harta itu sudah pun ditetapkan oleh hukum faraid.

 

Saya pernah bertemu kes di mana waris-waris datang berjumpa saya menanyakan sama ada boleh atau tidak mereka sedekahkan jumlah tertentu dari harta pusaka simati kepada masjid.

 

Jawapannya ialah ‘TIDAK BOLEH’ kerana harta pusaka itu secara haknya adalah milik waris-waris mengikut hukum faraid.

 

Selepas diasingkan harta pusaka itu dari hibah, waqaf dan amanah yang mungkin telah dibuat simati semasa hidupnya, ditolak hutang, harta sepencarian dan amanah, baki harta pusaka itu adalah hak waris-waris berkenaan.

 

Tiada sesiapapun boleh sesuka hati sedekahkan harta pusaka itu kecualilah jika semua waris-waris bersetuju dengan cadangan itu. Namun tentulah di situ ada konsep takharruj iaitu waris-waris boleh memilih untuk bermuafakat tentang kaedah agihan harta pusaka. Ini kita bincang lain kali Insya-Allah. 

 

Jika waris nak berbuat amal kebajikan di atas nama simati seperti bersedekah dari harta pusaka itu pun tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan semua waris, inikan pula merancang harta pusaka itu melalui kaedah seperti yang saya sebutkan di atas. 

     

Penggunaan istilah perancangan harta pusaka ini memang akan mengelirukan kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa harta pusaka itu boleh diagihkan sesuka hati.

 

Jadi kepada penceramah, penulis atau sesiapa sahaja di luar sana yang mempromosikan hibah, wasiat atau apa sahaja instrumen, teruskan usaha gigih anda membantu masyarakat tapi pastikan istilah yang tepat digunakan supaya masyarakat tidak terkeliru.

 

Harta boleh dirancang tetapi harta pusaka hanya boleh diuruskan sahaja.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad
ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Portfolio Tags