Hartal Doktor Kontrak tidak wajar, harap kerajaan tidak ambil tindakan tatatertib - CUEPACS | DagangNews Skip to main content

Hartal Doktor Kontrak tidak wajar, harap kerajaan tidak ambil tindakan tatatertib - CUEPACS

Hartal Doktor Kontrak. Kredit gambar Berita Harian

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan tindakan perhimpunan menyuarakan tuntutan yang dilakukan oleh sekumpulan pegawai perubatan kontrak atau lebih dikenali hartal doktor kontrak.

 

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, ini kerana tindakan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan ketika ini.

 

"CUEPACS berpandangan terdapat cara lain yang boleh dilakukan daripada bertindak melakukan aktiviti berkumpul tersebut. 

 

"Bagaimanapun CUEPACS menghormati suara yang dibawa oleh kumpulan pegawai perubatan kontrak ini yang disifatkan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Susulan kejadian itu, Adnan turut berharap agar kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tindakan tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak tersebut.

 

Adnan Mat
Adnan Mat

 

Menurutnya, tindakan 'demonstrasi' tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanyalah melibatkan mereka yang sedang rehat dan bercuti.

 

"Berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik COVID-19.

 

"Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak ini berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara.

 

"Berikan satu 'time frame' yang jelas terhadap usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan melalui pihak KKM," tambah beliau lagi.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyuarakan saranan agar kerajaan melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya.

 

Jelasnya, segelintir doktor ditempatkan dan bertugas di bahagian pengurusan untuk menjalankan kerja pentadbiran serta kewangan, berbanding kepakaran di bahagian perubatan dan perkhidmatan kesihatan.

 

Pada masa sama, doktor-doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan perlu terus komited berkhidmat di sektor kerajaan setelah menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

 

Katanya, kerajaan telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membiayai yuran pengajian dan adalah tidak wajar sekiranya golongan berkenaan menjadikan sektor kerajaan sebagai transit atau batu loncatan untuk ke sektor swasta setelah bergelar pakar.

 

Pihaknya juga berharap dapat membuka ruang untuk doktor-doktor ini boleh melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana intitusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus boleh menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja. 

 

"Dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung bidang kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan.

 

"Disebabkan dasar itulah ada desakan untuk doktor muda ini mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar. Dasar ini bolehlah diubah sebagaimana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang boleh sambung belajar tanpa melalui Kementerian Kesihatan," katanya lagi.

 

"Hospital swasta juga boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan bagi doktor-doktor muda ini menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan kepakaran mereka juga diperlukan oleh hospital swasta," ujar beliau. - DagangNews.com