Hartalega catat untung bersih Q2 sebanyak RM914 juta, jangka kesan ketara akibat Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Hartalega catat untung bersih Q2 sebanyak RM914 juta, jangka kesan ketara akibat Cukai Makmur

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. melonjak 67.7% kepada RM914.01 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2021 berbanding RM544.96 juta bagi tempoh sama tahun ini, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Prestasi lebih baik pada suku berkenaan didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM2.01 bilion, meningkat 48.9% daripada RM1.35 bilion dengan sebahagian besarnya menerusi kenaikan harga purata jualan (ASP) bagi sarung tangan getah.

 

Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh tersebut, susut sebanyak 48.5% atau RM1.89 bilion berbanding suku pertama disebabkan penurunan ASP sebanyak 27%. 

 

Jumlah jualan juga merosot sebanyak 34% daripada suku pertama apabila kilang pengeluaran terpaksa ditutup ekoran perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKDP) pada Julai dengan hanya membenarkan kapasiti tenaga kerja sebanyak 60% di bawah Pelan Pemulihan Negara.

 

Sementara itu, bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 September 2021, kumpulan turut merekodkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM5.91 bilion, meningkat 161% daripada RM2.27 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perolehan lebih tinggi itu sebahagian besarnya disumbangkan menerusi peningkatan ASP berbanding tempoh sama tahun lalu, selepas mengimbangi peningkatan kos bahan mentah ditambah dengan kesan ke atas pengurangan jumlah jualan sebanyak 11%.

 

Hartalega menjangkakan pelaksanaan Cukai Makmur sekali sahaja akan menjejaskan pendapatan kumpulan dengan ketara pada separuh kedua tahun kewangan 2022 apabila ia digazetkan oleh kerajaan.

 

"ASP bagi sarung tangan getah telah menunjukkan trend penurunan setelah mencapai paras tertinggi pada separuh pertama tahun kewangan dan bergerak memasuki separuh kedua. 

 

"Penurunan ASP dalam beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh peningkatan bekalan daripada pembuat sarung tangan utama serta permintaan yang menyederhana kerana pelanggan menyelaraskan inventori akibat penurunan harga ini," katanya.

 

Menurutnya, selepas pandemik sektor ini dijangka mengalami peningkatan struktur dalam permintaan berikutan penambahan penggunaan sarung tangan getah daripada pasaran baharu muncul dengan penggunaan yang rendah per kapita dan kesedaran kebersihan yang tinggi.

 

"Melangkah ke masa hadapan, kumpulan akan terus memberi fokus untuk meningkatkan kecekapan dan penggunaan automasi merentasi semua operasi kami. 

 

"Pada masa sama, kami juga kekal optimis terhadap prospek jangka panjang disokong permintaan sarung tangan getah yang semakin berkembang dan pelan pengembangan yang berterusan," jelasnya. - DagangNews.com