Hasan Arifin dilantik sebagai Pengerusi TNB | DagangNews Skip to main content

Hasan Arifin dilantik sebagai Pengerusi TNB

 

KUALA LUMPUR 30 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Hasan Arifin sebagai Pengerusi TNB berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

 

Beliau dilantik menjadi Pengerusi syarikat elektrik negara menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar bermula 30 Ogos 2021.

 

Hasan, 68, telah dilantik menjadi Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad tahun lalu. Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (1990-1999), Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pahang Tenggara (1995-1998) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2015-2018.

 

Hasan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bermula 1991 hingga 1995 dan UDA Holdings Berhad (2010-2015).

 

Mantan Timbalan Menteri Besar Pahang (1995-1999) yang kini menjadi Ahli Parlimen Rompin memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan pernah mengikuti kursus Pengurusan di Asian Institute of Management di Manila.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menerajui TNB sebagai Pengerusi.

 

Dalam memegang jawatan ini, saya bertanggungjawab terhadap semua pemegang saham dan lebih utamanya pemegang amanah,” kata Hasan.

 

Beliau menegaskan bahawa terdapat lebih 60 peratus milikan saham TNB dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Berbekalkan pengalaman luas dalam sektor korporat, Hasan berkata beliau akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh pimpinan terdahulu yang telah memastikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada semua pemegang saham serta mengekalkan amalan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab.

 

Dalam menyatakan komitmennya bagi memastikan pencapaian jangka panjang pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah untuk pertumbuhan nilai aset-aset TNB, beliau berharap Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus bekerjasama bagi mancapai matlamat yang diinginkan oleh syarikat untuk kebaikan negara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, “Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan 35,000 warga kerja TNB, saya mengalu-alukan kedatangan Dato’ Sri Hasan ke Tenaga Nasional.

 

“Pengetahuan serta pengalamannya yang luas amat bermanfaat untuk inisiatif-inisiatif transformasi TNB serta usaha pemulihan akibat pandemik COVID-19.” – DagangNews.com