Hasil Hartalega dijangka lebih mengukuh pada 3Q21 | DagangNews Skip to main content

Hasil Hartalega dijangka lebih mengukuh pada 3Q21

Sarung Tangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Hartelega Holdings Bhd. (Hartalega) dijangka meraih hasil yang lebih mengukuh sepanjang tempoh suku ketiga 2021.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada dua penilaian pihaknya terhadap perkembangan perniagaan syarikat berkenaan.

"Hartalega harus mencatatkan hasil yang mengukuh pada suku akan datang yang didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi melalui pengoperasian penuh kesemua barisan di Loji 6 pada suku ketiga 2021.

"Selain itu, ia dinilai kepada lonjakan purata harga jualan (ASP) syarikatnya," jelas CGS-CIMB Research hari ini.

Semalam, DagangNews.com melaporkan Hartalega mencapai peningkatan jumlah keuntungan bersih lima kali ganda kepada RM544.96 juta pada suku kedua 2021.

Baca: Keuntungan bersih 2Q21 Hartalega meningkat 5 kali ganda kepada RM544.96 juta

Keuntungan yang dicapai bagi tempoh berakhir 30 September 2020 itu merupakan jumlah keuntungan bersih suku tahunan yang terbaik pernah dicapai syarikat berkenaan.

Pendapatan suku berkenaan meningkat sebanyak 46.3%, manakala keuntungan bersih meningkat sebanyak 148.0% yang didorong oleh peningkatan jumlah penjualan sarung tangan dan kenaikan ASP sebanyak 44.6% selain kecekapan operasinya.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya turut menerima maklumat bahawa Hartalega akan menaikkan ASP sebanyak 50% pada suku ketiga 2021.

Susulan itu, CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan bahawa ASP syarikat berkenaan akan turut dinaikkan pada suku keempat 2021.

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi iaitu RM24.80. - DagangNews.com