Skip to main content

Hasil korporat dijangka menyaksikan pertumbuhan positif tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - Hasil korporat dijangka menyaksikan trajektori yang positif tahun ini sekali gus mampu mengekalkan keyakinan pelabur di sebalik cabaran pandemik COVID-19 pada 2021.

 

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, antara faktor yang mendorong kepada pertumbuhan ini termasuklah jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sekitar 5.5 hingga 6.5% tahun ini dan pembukaan semula aktiviti ekonomi negara.

 

Dalam hal ini, katanya, Bursa Malaysia akan terus komited membangunkan dan menambah baik pasaran modal supaya ia kekal menjadi destinasi menarik bagi pengumpulan dana dan pelaburan. 

 

"Kami juga akan meneruskan inisiatif untuk menarik peluang pelaburan di peringkat domestik dan asing, di samping mengambil langkah-langkah berterusan untuk memastikan penyertaan pasaran kepada komuniti yang lebih luas. 

 

"Antaranya, kita akan memulakan program transformasi syarikat tersenarai awam (PLC) untuk tempoh 5 tahun akan datang mulai 2022 bagi meningkatkan prestasi syarikat-syarikat ini bagi menambah baik keseluruhan pasaran," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 hari ini. 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia, Rosidah Baharom. 

 

 

bursa
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (dari kiri) bersama Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia, Rosidah Baharom ketika membentangkan prestasi kewangan berakhir 31 Disember 2021 hari ini.

 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) Bursa Malaysia susut 6% kepada RM355.3 juta berbanding RM377.7 juta bagi tempoh kewangan sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM767.54 juta berbanding RM798.97 juta tahun sebelumnya.

 

Abdul Wahid Omar berkata, Bursa Malaysia menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan prestasi baik sepanjang tahun walaupun 2021 terbukti sebagai tahun yang mencabar di peringkat global.

 

Katanya, ia terus menyaksikan dagangan aktif untuk pasaran sekuriti di Bursa Malaysia pada purata nilai dagangan harian sebanyak RM3.5 bilion.

 

"Selain itu, kami merekodkan 30 tawaran awam permulaan (IPO) pada FY21 berbanding hanya 19 IPO pada tahun sebelumnya yang mengumpul RM2.7 bilion.

 

"Angka ini adalah bukti bahawa syarikat dan pelabur yakin dengan pasaran modal Malaysia dan Bursa Malaysia sebagai platform untuk mengumpul dana dan keperluan pelaburan mereka," jelasnya. 

 

Dalam pada itu, Muhammad Umar menjangkakan nilai purata dagangan harian (ADV) akan kembali normal tahun ini meskipun tidak setinggi seperti mana paras sebelum pandemik COVID-19.

 

"Pasaran menyaksikan pada 2020 menjadi tahun kepada saham berkaitan sarung tangan getah disebabkan pandemik dan seterusnya semakin berkurangan apabila memasuki 2021," katanya- DagangNews.com