'Hasil penemuan SIR tidak rasmi, tiada sebab Bursa Malaysia gantung Serba Dinamik' | DagangNews Skip to main content

'Hasil penemuan SIR tidak rasmi, tiada sebab Bursa Malaysia gantung Serba Dinamik'

 

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Serba Dinamik Holdings Bhd. percaya bahawa pihaknya mempunyai alasan konkrit supaya Bursa Malaysia Securities Bhd. menarik semula penggantungan saham/waran syarikat yang berkuat kuasa sejak sesi kedua dagangan Jumaat lalu.

 

Menerusi surat kepada pengawal selia pasaran itu bertarikh 27 Oktober 2021, Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Ilyas Mohamed menyifatkan tindakan Bursa Malaysia supaya kumpulan membuat permohonan lanjutan masa dilihat 'sebagai tindakan yang melampaui batas'.

 

Dalam hal ini, Serba Dinamik berpendapat bahawa Bursa Malaysia telah bertindak di luar had kuasanya.  

 

Pada 21 Oktober lalu, Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY) membuat pembentangan Powerpoint yang turut dihadiri 3 pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan dengan kehadiran wakil daripada Bursa Malaysia.

 

 

Baca : SIR masih berjalan, Serba Dinamik tidak berhasrat tangguh hasil penemuan

 

 

Bagaimanapun, pengarah-pengarah berkenaan mendakwa bahawa pembentangan itu 'hanyalah penemuan awal yang tidak dapat disimpulkan' dengan EY tidak mencapai apa-apa kesimpulan, justeru, bukan mereka atau sesiapapun untuk membuat kesimpulan yang diperoleh EY apabila ia melengkapkan kajian bebas khas (SIR) berkenaan.

 

"Setakat ini, semuanya masih lagi berjalan dalam proses, justeru, adalah tidak wajar untuk mengeluarkan dapatan yang akan menjejaskan sasaran pencapaian kami dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi," ujar ketiga-tiga pengarah berkenaan dalam kenyataan.

 

Malah, mereka juga secara bersama berkata, "Memandangkan ini hanyalah penemuan awal, tiada salinan edaran atau bahan yang diedarkan semasa pembentangan."

 

Dalam kenyataan media bertarikh 22 Oktober 2021, Bursa Malaysia mendakwa penemuan daripada laporan penemuan fakta terkini SIR setakat 30 September telah dimaklumkan kepada 3 daripada 4 pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik pada 21 Oktober. 

 

Ini menyebabkan pengawal selia pasaran itu mengeluarkan arahan di bawah perenggan 2.23 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) kepada Serba Dinamik, antara lain, membuat pengumuman mengenai penemuan daripada laporan tersebut selewat-lewatnya 26 Oktober 2021.

 

Selain itu, Bursa Malaysia juga memutuskan bahawa penggantungan dagangan saham Serba Dinamik yang bermula pada awal sesi petang Jumaat (22 Oktober) akan kekal sehingga notis selanjutnya apabila syarikat mendedahkan penemuan daripada laporan tersebut.

 

Ilyas dalam surat berkenaan kepada Bursa Malaysia turut menegaskan walaupun EY telah menyampaikan 'kemas kini penemuan fakta' kepada pengarah bebas bukan eksekutif yang dipersoalkan 2 hari kemudian pada 23 Oktober, tetapi format dokumen itu hanyalah dalam bentuk slaid PowerPoint.

 

"Laporan 'kemas kini penemuan fakta' yang dikatakan itu ialah dokumen tanpa pengarang kerana ia tidak ditandatangani oleh sesiapapun, jelas menunjukkan bahawa ia tidak boleh dipercayai oleh sesiapapun dan bukan dokumen sama yang dibentangkan kepada pengarah bebas bukan eksekutif dalam taklimat 21 Oktober lalu," jelas beliau.

 

Dengan mengambil kira laporan 'kemas kini penemuan fakta' ini bukan dokumen yang dikeluarkan oleh Serba Dinamik atau mana-mana pengarahnya, Ilyas menegaskan, Serba Dinamik mahupun pengarahnya bukan dalam kedudukan untuk mencadangkan bahawa dokumen sedemikian akan termasuk dalam terma perenggan 9.03 dan 9.35A daripada MMLR. - DagangNews.com