Hasil Supermax menjunam sehingga 99% pada Q3, Kenanga Research semak turun TP kepada 75 sen | DagangNews Skip to main content

Hasil Supermax menjunam sehingga 99% pada Q3, Kenanga Research semak turun TP kepada 75 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kenanga Research mengekalkan penarafan Supermax Corp. Bhd. kepada 'underperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 75 sen berbanding 90 sen sebelum ini berikutan prestasi kewangan suku ketiga (Q3) yang mengecewakan. 

 

Malah, firma itu juga mengurangkan unjuran untung bersih Supermax bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) sebanyak 21% selepas mengambil kira pengurangan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 31% daripada 35% sebelum ini. 

 

Pada masa sama, untung bersih FY23 juga dikurangkan sebanyak 17% dengan mengambil kira kadar penggunaan lebih rendah kepada 65% (daripada 68%) dengan margin EBITDA pada 17% (daripada 18%).

 

Menurutnya, hasil kumpulan pada suku seterusnya dijangka terjejas akibat sekatan yang dikenakan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas produknya yang menyumbang 20% kepada jualan. 

 

Selain itu, normalisasi harga jualan purata (ASP) yang lebih cepat daripada jangkaan dan impan Cukai Makmur pada FY22 turut memberi kesan kepada hasil Supermax.

 

"Kami juga percaya, prestasi pada suku berikutnya juga akan dipengaruhi cabaran dari segi logistik ekoran kekurangan kontena kapal di peringkat global, yang kemungkinan tidak akan berkurangan dalam 2 suku akan datang.

 

"Kumpulan dijangka berdepan masalah margin kerana kos bahan mentah tidak diselaraskan secepat penurunan ASP, justeru, menyebabkan pendapatan lebih rendah secara berturut-turut," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Supermax menjunam 98.71% kepada RM13.01 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM1.01 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Ia selepas jualan terus terjejas oleh Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikenakan CBP AS selain penurunan dalam harga jualan serta permintaan.

 

Pendapatan kumpulan juga jatuh sebanyak 79% atau RM1.53 bilion kepada RM407.8 juta dari suku tahun sebelumnya.

 

Pada Oktober lalu, CBP AS menyekat import daripada Supermax dan 3 anak syarikatnya atas dakwaan amalan buruh paksa. 

 

Agensi itu menjelaskan 10 dari 11 petunjuk buruh paksa dikenal pasti dalam tempoh siasatan dan jabatan itu mempunyai bukti mensabitkan Supermax dan anak syarikatnya dengan pelanggaran udang-undang perdagangan AS. 

 

Menurut Kenanga Research, impak kepada hasil Supermax bergantung kepada sejauh mana kumpulan berupaya menangani kehilangan jualan daripada pasaran AS.

 

"Ia juga bergantung kepada sejauh mana kumpulan dapat menyelesaikan isu ini, seperti apa yang menimpa Top Glove Corp. Bhd. sebelum ini, syarikat mengambil masa hampir setahun selepas WRO tersebut ditarik balik," jelasnya.

 

Setakat 9.14 pagi ini, harga saham Supermax kekal tidak bergerak pada RM1.03 sesaham. - DagangNews.com