Hektar REIT kekal berhati-hati menempuh 2021 | DagangNews Skip to main content

Hektar REIT kekal berhati-hati menempuh 2021

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Hektar Asset Management Sdn. Bhd., pengurus dana bagi Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) merekodkan perolehan sebanyak RM111.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, menyusut 18.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ini disebabkan pendapatan daripada penyewaan, tempat letak kereta dan medan selera mencatat penurunan akibat cabaran pandemik COVID-19 dan pelbagai sekatan yang dikenakan bagi mengekang wabak itu. 

 

Perbelanjaan operasi hartanah bagi 2020 juga susut RM3.5 juta atau penjimatan 5.7% berbanding tempoh sama 2019 manakala pendapatan bersih hartanah dilaporkan berjumlah RM53 juta, menurun 29.8% daripada 2019.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar REIT, Datuk Hisham Othman berkata, tahun 2020 menyaksikan cabaran yang luar biasa akibat pandemik itu tetapi sektor peruncitan dijangka meningkat semula seiring dengan pemulihan sentimen pengguna. 

 

Katanya, ini juga didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang diunjur kukuh dan pelancaran vaksin COVID-19.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati memasuki tahun ini memandangkan situasi masih lagi berkembang. 

 

"Tetapi, kami mula menyaksikan pembeli kembali ke pusat beli-belah termasuk (milik kami) sejak perintah sekatan dilonggarkan," katanya dalam kenyataan hari ini selepas syarikat itu mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-19 hari ini. 

 

Menurut beliau, syarikat akan terus memberi sokongan kepada penyewa dan tetap mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) kepada pekerja, pengunjung, penyewa dan vendor di semua lokasi perniagaan miliknya. 

 

Pandemik ini telah menjejaskan industri peruncitan dengan ketara dan REIT juga tidak terkecuali, tambahnya.

 

"Namun, kami kekal komited mengemudi portfolio kami ke arah pemulihan bagi tahun ini," katanya lagi.

 

Hektar REIT mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM4.2 juta, bersamaan 0.9 sen seunit bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020. - DagangNews.com