Hextar Global boleh berkembang lebih luas dalam industri kimia - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Hextar Global boleh berkembang lebih luas dalam industri kimia - PublicInvest

Gambar hiasan

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - PublicInvest Research berpandangan langkah pengambilalihan terbaharu Hextar Global Bhd. mampu mengurangkan kebergantungannya kepada sektor perladangan.

 

Meskipun pengambilalihan dibuat bukan pada skala yang besar tetapi firma itu melihat ia satu langkah yang positif kepada kumpulan.

 

Pada Jumaat, kumpulan dilaporkan membeli 49% kepentingan dalam Enra Kimia Sdn. Bhd. pada nilai RM24.5 juta secara tunai.

 

Enra Kimia merupakan salah satu pengedar terbesar bahan kimia dan menjadi pemangkin dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

 

"Setakat ini tiada butiran lanjut mengenai urus niaga ini, namun kami secara dasarnya positif mengenai berita ini kerana ia membolehkan kumpulan mempelbagai industri lain dalam bahan kimia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada industri perladangan sahaja sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Enra Kimia adalah anak syarikat milik penuh Enra Energy Sdn. Bhd. dan merupakan unit Enra Group Bhd.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Hextar Global, syarikat agrokimia mengeluarkan surat tawaran bersama dengan Ekopintar Sdn. Bhd. untuk memiliki 49% kepentingan dalam Enra Kimia manakala Ekopintar pula memiliki 51% pegangan yang mewakili 5.1 juta saham dengan pertimbangan tunai berjumlah RM25.5 juta.

 

Kepentingan Ekopintar sebahagiannya dimiliki Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enra Group, Datuk Mazlin Md. Junid.

 

Menurut PublicInvest, Hextar Global sebelum itu mengambil alih Chempro Group of Companies dengan nilai RM138 juta dan terbaharu, Nobel Group of Companies bernilai RM105 juta.

 

"Dengan pengambilalihan ini, membolehkan kumpulan meneroka sektor pembersihan, sarung tangan getah serta minyak dan gas.

 

"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan meningkat sekitar 40 hingga 50% (kos pembiayaan bersih), mengukuhkan pertumbuhan prospeknya pada masa hadapan," katanya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Hextar Global dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.27. 

Setakat 10.33 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.3. - DagangNews.com