Skip to main content

Hikmah COVID-19, tiada isu AS dan China tercetus

APEC 2020

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Cabaran penularan COVID-19 telah menghentikan isu perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China daripada tercetus ketika Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC (AELM) 2020 malam ini. 

 

APEC sebaliknya meletakkan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19 sebagai tumpuan utama. 

 

Dalam masa sama, intipati kerjasama rapat untuk membangunkan vaksin COVID-19 turut diberikan penekanan, supaya ia dapat tersedia dan berpatutan demi kebaikan rakyat di rantau itu. 

 

“APEC menekankan kepentingan untuk menambahbaik hubungan kerjasama antara pihak swasta dan awam serta bersama-sama untuk mempercepat usaha pemulihan dan ketahanan ekonomi rantau itu. 

 

“APEC berikrar untuk tidak mundur dan menggunakan langkah-langkah fahaman perlindungan bagi memastikan pasaran serta sempadan terbuka.

 

“Ini termasuk memastikan pergerakan barangan asas merentas sempadan dengan lancar seperti makanan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan serta keperluan asas lain ketika pandemik untuk memastikan rantai bekalan di rantau ini tidak terjejas,” kata APEC ketika ditanya media sekiranya terdapat isu sama berbangkit akibat perang perdagangan AS-China. 

 

Penularan pandemik COVID-19 mungkin merencatkan pertumbuhan ekonomi-ekonomi APEC sehingga 2.7% pada tahun ini berbanding 3.6% pertumbuhan pada tahun 2019. 

 

Jangkaan itu merudum dengan ketara sejak hampir sifar kadar pertumbuhan dicatatkan pada tahun 2009 ketika krisis kewangan dunia. 
 

Pada tahun 2018, APEC pertama kali menyaksikan ekonomi-ekonomi yang terlibat tidak mencapai kata sepakat apabila China dan AS tidak ‘sebulu’. 

 

Malah, penyertaan AS kali ini menyaksikan kehadiran Presiden Donald Trump buat kali pertama setelah menolak menyertai APEC 2018 ekoran ketegangan hubungan dengan China. - DagangNews.com

 

APEC 2020