Hikmah Peristiwa Israk dan Mikraj | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 25 February 2022

Hikmah Peristiwa Israk dan Mikraj

 

 

TERDAPAT peristiwa agung dan besar yang berlaku dalam sejarah Islam di bulan Rejab. Peristiwa tersebut adalah israk dan mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah sebagai suatu anugerah dari Allah SWT.

 

Pelbagai pandangan berkaitan penentuan tarikh peristiwa antaranya ialah Imam al-Tabari menyatakan berlaku pada tahun Nabi SAW diangkat menjadi Rasul.

 

Sementara Imam al-Qurtubi dan Imam al-Nawawi pula berpendapat pada tahun kelima kenabian. Manakala Imam al-Mubarakfuri pula menjelaskan pada malam 27 Rejab tahun ke-10 kenabian dan pelbagai lagi pandangan lain.

 

Walaupun para ulama berbeza pandangan dalam menentukan tarikh sebenar peristiwa, namun para ulama sepakat menyatakan berlaku sebelum hijrah ke Madinah.

 

Setiap pendapat ada kehujahan dan juga hujah balas, tetapi penentuan tarikh bukanlah suatu keperluan untuk diperdebatkan dan dibahaskan, sebaliknya perlu fokus terhadap pengajaran dan hikmah disebalik peristiwa tersebut.

 

Peristiwa israk dan mikraj adalah untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Israk bermaksud perjalanan Nabi SAW pada suatu malam dari Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Manakala mikraj pula bermaksud Nabi SAW naik ke ‘Sidratul Muntaha’.


 

irsyad
                                                      Masjidil Haram di Mekah

 

Peristiwa ini telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat yang bermaksud “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Israk: 1).

 

Seterusnya Allah SWT juga lanjutkan penjelasan dalam ayat yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (iaitu) di Sidratil Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar” (Surah al-Najm: 13-18).

 

Terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh disingkap melalui peristiwa israk dan mikraj yang berlaku dalam sejarah Islam.

 

1. Nabi SAW adalah penyempurna syariat para Nabi terdahulu. Nabi menjadi imam solat kepada seluruh para Nabi ketika di Masjid al-Aqsa adalah sebagai mesej jelas bahawa risalah para Nabi adalah satu dan sama.

 

Persinggahan Nabi SAW di Masjid al-Aqsa juga adalah sebagai tanda atau simbolik meneruskan agenda perjuangan para Nabi yang majoriti dari bumi Palestin.

 

2. Keimanan dan kepercayaan akan mendepani kebendaan. Islam mengajar dan mendidik masyarakat bahawa tidak semua perkara yang tidak logik pada akal itu tidak boleh berlaku.

 

Kebesaran dan keagungan Allah SWT telah diperlihat dan dipertontonkan sepanjang mikraj kepada Nabi SAW. Perkara ghaib tidak boleh diukur dengan logik akal yang sempit kecuali dengan keimanan dan kepercayaan yang mantap dan diselarikan dengan peranan akal yang sihat.

 

3. Kewajiban dan kefardhuan solat lima waktu sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT. Manusia dididik untuk menyembah Allah SWT secara jasad dan roh serta  berusaha merasakan kewujudan Allah SWT secara langsung di dalam solat.

 

Kepentingan dan kedudukan solat yang tinggi dizahirkan melalui perintah yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW secara langsung tanpa melalui perantara malaikat Jibril.

 

Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Namun, ketika bertemu dengan Nabi Musa AS di langit keenam, lalu Nabi SAW disarankan agar kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan. Permohonan tersebut telah berlaku beberapa kali sehingga Allah SWT mengabulkan pengurangan waktu solat menjadi 5 kali sahaja.

 

Waktu solat tersebut telah dijelaskan dalam ayat yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat” (Surah Hud: 114).


 

irsyad
Masjidil al-Aqsa di Palestin

 


4. Menginsafi keistimewaan dan kepentingan Masjid al-Aqsa serta kawasan sekitarnya. Bumi Palestin bukan hanya sekadar sebagai tempat persinggahan untuk lawatan dan pelancongan sahaja, namun lebih dari itu sebagai hak milik umat Islam.

 

Masyarakat Islam perlu sedar dan cakna terhadap perancangan Yahudi dalam merampas bumi Palestin secara licik dan halus melalui pelbagai strategi seperti Perjanjian Sykes Picot 1916, Deklarasi Balfour 1917, Perjanjian Lausanne 1923, kelulusan wilayah Israel oleh PBB 1947, pemetaan baru dunia oleh Bernard Luis 1983, Deal of The Century 2017 dan pelbagai lagi bertujuan menjamin kelangsungan Israel.

 

Sewajarnya seluruh umat Islam perlu bangkit mempertahan dan memperjuangkan hak milik bumi Palestin dari dirampas oleh golongan Yahudi melalui pelbagai cara yang diatur dan dirancang.

 

Demikianlah pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh dilhat serta diambil untuk dijadikan panduan dalam kehidupan, meningkatkan prestasi ketakwaan kepada Allah SWT atau meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat Islam pada masa kini. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD 

Portfolio Tags