HLIB kekal positif Proton pacu pemulihan suku keempat DRB-Hicom | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal positif Proton pacu pemulihan suku keempat DRB-Hicom

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal positif dengan unjuran masa depan DRB-Hicom selepas syarikat itu biarpun prestasi kumpulan dalam suku ketiga tahun kewangan 2021 terjejas oleh langkah sekatan yang ketat.

 

Menurut HLIB Research, namun begitu, anak syarikatnya, Proton telah berjaya mencatatkan keuntungan pada bulan September  dan dijangka meneruskan aliran pemulihannya kerana OEM negara terus meningkatkan pengeluaran dan menambah baik penghantaran bagi memenuhi pesanan tertunggak semasa.

 

"Pada suku ketiga 2021 Proton terjejas teruk oleh langkah penutupan ketat yang dilaksanakan sejak Jun hingga Ogos. Namun begitu, pihak pengurusan menekankan bahawa Proton berjaya mengembalikan keuntungan dengan jualan 10,200 unit pada bulan September sahaja. 

 

"Pengurusan menjangkakan pemulihan pada suku keempat kerana Proton terus meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi pesanan tertunggak sebanyak 48,800 unit sehingga Oktober," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, Proton telah memperoleh bekalan mikrocip yang mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa. 

 

Pelancaran model baharu Proton bagaimanapun dijangka ditangguhkan kepada tahun kewangan 2022 berikutan gangguan rantaian bekalan dan kebimbangan wabak COVID-19 yang berpanjangan.

 

"Pengurusan memberitahu bahawa peralihan secara beransur-ansur barisan pengeluaran Shah Alam ke Tanjung Malim sedang dalam proses dan dijangka siap menjelang 2026/2027. 

 

"Pada masa yang sama, Proton turut mempercepatkan program eksportnya, menyasarkan 5,000 unit pada 2022," katanya. 

 

DRB melalui anak syarikatnya, membangun, memasang dan menjual kenderaan bermotor dan kenderaan tentera. 

 

DRB juga mengendalikan perbankan, pembangunan hartanah dan kerja pembinaan serta menyediakan perkhidmatan logistik, katering penerbangan dan pengendalian darat. -DagangNews.com