HLIB optimis dengan prospek CTOS Digital, raih manfaat daripada penubuhan bank digital | DagangNews Skip to main content

HLIB optimis dengan prospek CTOS Digital, raih manfaat daripada penubuhan bank digital

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - CTOS Digital Bhd. dilihat bakal meraih manfaat dengan penubuhan bank digital menerusi inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

BNM dijangka mengeluarkan 5 lesen perbankan digital kepada pemohon yang layak pada suku pertama ini setelah menerima 29 permohonan tahun lalu. 

 

Terdapat pelbagai pihak mengemukakan permohonan berkenaan termasuk bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri.

 

Penganalisisnya, Jeremie Yap berkata, inisiatif digital bank yang dijangka mengutamakan peminjam dengan penyelesaian pelanggan yang lebih disesuaikan, akan memberi kelebihan kepada CTOS Digital. 

 

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang kira-kira 50% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), akan menjadi antara penerima manfaat terbesar daripada perbankan digital.

 

"Ini akan menyaksikan penembusan yang lebih besar dalam pasaran laporan kredit tempatan dengan lebih banyak penilaian laporan kredit diperlukan untuk memberi pinjaman kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

 

"Pada masa sama, ia akan meningkatkan jumlah kelulusan dengan lebih pantas dan pengagihan dana daripada bank digital," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap CTOS Digital dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.45. 

 

Firma itu optimis dengan prospek kumpulan dalam Industri Laporan Kredit ASEAN dan kedudukannya sebagai peneraju penilaian laporan kredit di Malaysia dengan penguasaan pasaran dianggarkan sebanyak 71.2% pada 2020. 

 

Setakat ini, ia tidak membuat sebarang perubahan unjuran kepada pendapatan sementara menanti penyelesaian langkah korporatnya, antaranya pengambilalihan Juris Technologies Sdn Bhd (JurisTech) dan penempatan persendirian yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

 

Pada 24 Disember lalu, CTOS Digital mencadangkan penempatan persendirian saham baharu hampir 6.2% daripada saham tertunggak atau 136.5 juta saham pada harga terbitan indikatif RM1.763 sesaham untuk mengumpul sehingga RM240.7 juta bagi melaksanakan pengambilalihan. 

 

CTOS Digital bercadang memperoleh 49% kepentingan dalam syarikat pakar fintech, JurisTech pada harga tunai RM205.8 juta yang dijangka selesai menjelang suku pertama ini.

 

Sebelum ini, agensi pelaporan kredit itu turut meningkatkan pegangan dalam RAM Holdings dan Business Online Public Company Limited (BOL). 

 

Setakat 10.51 pagi ini, harga saham CTOS Digital menokok 1 sen atau 0.58% kepada RM1.73 dengan 322,700 saham diniagakan. - DagangNews.com