HLIB optimis Velesto Energy kembali untung pada FY22-FY23 | DagangNews Skip to main content

HLIB optimis Velesto Energy kembali untung pada FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Mac - Velesto Energy Bhd. dijangka kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga 2023 memandangkan kontrak pelantar penggerudian akan meningkat tahun ini, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Ini berikutan pada Jumaat lalu, Velesto mengumumkan unitnya menerima kontrak 2 tahun untuk menyediakan pelantar penggerudian jack-up kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd.

 

Kontrak itu dianugerahkan kepada Velesto Drilling Sdn. Bhd., yang terlibat terutamanya dalam penggerudian dan operasi luar pesisir serta perkhidmatan kejuruteraan lain untuk penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia dan luar negara.

 

Projek itu dijangka bermula pada suku pertama tahun ini, dengan pilihan lanjutan setahun ditambah  setahun.

 

Penganalisisnya, Jeremy Yap berkata, harga minyak mentah semasa yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan aktiviti dalam sektor minyak dan gas (O&G). 

 

Katanya, walaupun tahap penggunaan gabungan pada suku pertama 2022 dijangka kekal suam disebabkan garis masa tahunan kitaran perancangan modal pelanggan, tetapi Velesto dijangka mempamerkan prestasi yang lebih baik pada FY22 bagi asas setahun penuh (berbanding FY20-FY21).

 

"Kami dapati kontrak ini juga tidak memerlukan komitmen daripada Petronas dari segi kerja yang khusus (seperti saiz kontrak, tempoh kerja, kadar sewa harian) sepanjang tempoh kontrak.

 

"Oleh itu, kami menganggap perkembangan ini sedikit positif kerana memberi petunjuk kepada peningkatan dalam perbelanjaan modal (capex) huluan Petronas pada 2022 di tengah-tengah harga minyak mentah semasa yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), Velesto merekodkan kerugian bersih sebanyak RM90.82 juta walaupun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, berjumlah RM491.73 juta.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Velesto dengan harga sasaran pada 18 sen. 


Firma itu juga tidak membuat sebarang anggaran pendapatan bagi FY22-FY23 susulan perolehan kontrak terbaharu itu.

 

Bagaimanapun, Yap percaya Velesto tidak akan menggunakan hasil insurans Naga 7 untuk memperoleh pelantar baharu kerana ia akan terus mengoptimumkan asetnya dan terus menambah baik kunci kira-kiranya. 

 

"Pada masa sama, kami dapati kunci kira-kiranya juga bertambah baik dengan tahap hutang dan gearan bersih pada RM289 juta dan 0.13x setakat akhir Disember 2021 (berbanding RM793 juta dan 0.35x tahun sebelumnya)," katanya.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham Velesto antara paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia. Setakat 10.08 pagi, harga sahamnya tidak berubah pada 11 sen dengan 20.49 juta saham diniagakan. - DagangNews.com