HLIB semak turun harga sasaran GDB kepada 41 sen selepas 'potong' unjuran hasil FY22 | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun harga sasaran GDB kepada 41 sen selepas 'potong' unjuran hasil FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengurangkan harga sasaran (TP) GDB Holdings Bhd. kepada 41 sen daripada 48 sen sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'pegang' selepas menyemak semula unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22). 

 

Ini berikutan prestasi kewangannya pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 tersasar daripada jangkaan firma, merangkumi 17% daripada anggaran tahun penuh.

 

Pada suku berkenaan, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM169 juta, meningkat 16.7% daripada RM111.1 juta manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) susut 18.1% kepada RM7.8 juta.

 

Menurut firma itu, penurunan hasil disebabkan terutamanya oleh kemerosotan margin apabila kemasukan hasil sejajar dengan 22.8% daripada ramalan.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran hasil GDB bagi FY22-FY23 masing-masing sebanyak 17.8% dan 17.6% susulan prestasinya yang kurang memuaskan.

 

"Pada masa sama, kami turut memulakan unjuran hasil bagi FY24 sebanyak RM47 juta," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

HLIB mendapati, walaupun aktiviti pembinaan kembali berjalan lancar pada suku pertama 2022, tetapi margin menyusut disebabkan kos bahan binaan dan buruh yang lebih tinggi. 

 

"Pada pandangan kami, kos buruh terus meningkat disebabkan masalah kekurangan manakala pelbagai harga bahan binaan melonjak daripada kos tenaga yang lebih tinggi. Kedua-dua trend ini berterusan sepanjang tahun lalu," tambahnya.

 

Nilai kontrak GDB sebanyak RM1.37 bilion mencerminkan perlindungan 3.2 kali yang kukuh bagi hasil FY21 yang akan dilaksanakan dalam 2 hingga 3 tahun akan datang.

 

Kumpulan juga secara beransur-ansur meninjau lebih banyak peluang tender sejak beberapa bulan lalu.

 

Namun, HLIB percaya peningkatan mendadak dalam pelbagai kos boleh menyebabkan penangguhan pemberian daripada sektor swasta terutama jika harga kekal tidak menentu.

 

"Bagi margin, kami menjangkakan ia kekal lebih lemah disebabkan kenaikan kos secara berterusan dengan prestasi suku pertama 2022 menyaksikan keuntungan berkurangan daripada projek yang telah siap," katanya. 

 

Setakat 10.00 pagi ini, harga saham GDB susut 0.5 sen atau 1.32% kepada 37.5 sen dengan 93,000 saham diniagakan. - DagangNews.com