HLIB unjur TIV bagi 2H22 terus kukuh disokong 264,000 tempahan tertunggak | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur TIV bagi 2H22 terus kukuh disokong 264,000 tempahan tertunggak

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam sektor automotif kekal kukuh bagi 2H22 walaupun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi tempahan kereta baharu tamat pada 30 Jun 2022.

 

Unjuran itu disokong oleh tunggakan tempahan sebanyak 264,000 unit yang masih layak mendapat pengecualian SST sekiranya penghantaran dilakukan selewat-lewatnya 31 Mac 2023.

 

Firma itu menjangkakan berlakunya lonjakan tambahan pada penghujung Jun 2022.

 

"Pengeluar peralatan asli (OEM) dengan tunggakan pesanan tinggi termasuk Proton (DRB-HICOM Berhad), Perodua (MBM Resources Berhad & UMW Holdings Berhad), Toyota (UMW), Honda (DRB) dan Mazda (Bermaz Auto Berhad).

 

"Kami menjangkakan pesanan baharu akan menjadi perlahan pada 2H22, kami percaya jualannya akan disokong oleh tunggakan semasa yang tinggi. 

 

"Kami juga mengekalkan ramalan TIV untuk 2022 sebanyak 600,000 unit (+17.9% tahun ke tahun)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan pilihan utama merangkumi DRB (TP: RM2), MBM Resources (TP: RM5) dan Bermaz Auto (TP: RM2.05).

 

Firma itu juga menjangkakan, kekurangan cip global yang menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan sektor automotif sejak awal tahun 2021 akan bertambah baik pada 2H22.

 

"Bagaimanapun, kami akan kekal berhati-hati untuk TIV 2023," katanya.

 

Firma itu juga menjangkakan, ringgit akan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2022 kepada 4.23 (daripada paras 4.40 semasa selepas susut nilai daripada 4.15 pada awal 2022) manakala RM/yen kekal stabil pada 3.30 (Bloomberg) menjelang akhir 2022 (daripada semasa 3.25 selepas meningkat daripada 3.65 sejak permulaan 2022).

 

"Kedudukan ringgit yang kukuh akan mengurangkan kos input untk kereta import sepenuhnya (CBU) dan bahan pemasangan untuk model pemasangan tempatan (CKD) selain meningkatkan margin keuntungan OEM," katanya. - DagangNews.com