Skip to main content

Hom tawar ruangan Co-living seperti rumah sendiri

hom

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Julai - Platform hartanah terkini, Hom menawarkan ruangan Co-living atau ruang tempat tinggal bersama yang indah seperti berada di kediaman sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Hom, Felix Ferdinand berkata, ilham mewujudkan Hom tercetus apabila kedua-dua pengasas bersama mendapati harga rumah adalah semakin tinggi dan tidak mampu untuk dimiliki golongan muda.

"Kami perjuangkan misi bagi membolehkan komuniti memiliki kemudahan kediaman tanpa perlu membeli rumah.

"Lebih ramai individu kini memilih untuk menyewa berbanding memiliki rumah. Dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini, menyewa tanpa beban pembayaran pinjaman rumah adalah pilihan yang paling sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

hom

Platform Hom bukan hanya menyediakan ruangan, malah turut dilengkapi dengan teknologi dan aplikasi mudah alih yang mampu menguruskan proses pembayaran, maklumat senarai penginapan serta perkhidmatan lain berdasarkan permintaan yang disediakan.

Hom hari ini melancarkan unit sulungnya yang bertempat di Sky Suites, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan beberapa kawasan lain seperti Bangsar South dan Mont Kiara tidak lama lagi.

Pelancaran yang dijalankan secara dalam talian itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. 

Dalam ucapan perasmiannya, Wan Junaidi berkata, selaras dengan trend ekonomi semasa, usahawan perlu peka dan bersedia bagi mengadaptasi teknologi dan inovasi terkini dalam setiap perniagaan.

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"MEDAC bersedia untuk memberi sokongan dan fasiliti kepada usahawan dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan teknologi.

"Saya berbesar hati dan mengalu-alukan usaha Hom mengorak langkah dalam menawarkan platform ruangan co-living kepada golongan muda di bandar seiring dengan proses pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19. - DagangNews.com