Hong Seng lengkapkan pengambilalihan RZAC bernilai RM20 juta | DagangNews Skip to main content

Hong Seng lengkapkan pengambilalihan RZAC bernilai RM20 juta

 

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Hong Seng Consolidated Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, HS Bio Sdn. Bhd. melengkapkan pengambilalihan 51% dalam RZAC Immunesafe Sdn. Bhd. menerusi perjanjian jualan saham (SSA) melibatkan jumlah pertimbangan sebanyak RM20 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pengambilalihan ini meningkatkan lagi dimensi HS Bio yang semakin berkembang luas dalam penyelesaian penjagaan kesihatan yang disediakan melalui syarikat yang dimilikinya, termasuk keupayaan untuk mendapatkan akses kepada penyedia penjagaan kesihatan dan juga pelanggan. 

 

Sebelum ini, Hong Seng berkata, vendor SSA akan menghasilkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM40 juta dalam tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober 2021. 

 

Jaminan keuntungan ini diberikan oleh vendor memandangkan RZAC memperoleh pesanan dan komitmen daripada pihak awam dan swasta kerana ia menjangkakan bekalan 1 juta unit kit ujian ImmuSAFE Covid+ Biochip boleh menjana anggaran pendapatan sehingga RM250 juta. 

 

Ini secara tidak langsung memberi tambahan kepada prospek masa depannya apabila Malaysia mencapai komuniti kelompok yang mana ujian antibodi akan memainkan peranan penting seterusnya membantu pembukaan komuniti, ekonomi dan sempadan secara beransur-ansur.

 

Lebih penting lagi, kit ujian ini mempunyai ketepatan 100% seperti disahkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan mempunyai kadar senstiviti lebih tinggi mencapai 100% berbanding ujian antibodi lain dalam pasaran, yang kurang komprehensif dan kebanyakannya adalah ujian antibodi antigen tunggal. 

 

RZAC juga baru-baru ini bersama-sama menubuhkan ImmuSAFE Serology Lab dengan rakan kerjasama strategik yang dilancarkan menteri kesihatan di kemudahan IMR. 

 

Ujian peneutralan antibodi menerusi ImmuSAFE COVID+ Biochip akan menentukan bukan sahaja kehadiran tetapi titre antibodi dan sama ada ia mencukupi untuk melindungi seseorang daripada virus.

 

Selain itu, hasil daripada ujian ImmuSAFE COVID+ Biochip ialah ujian antibodi yang meneutralkan boleh memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan di seluruh dunia untuk memberi keutamaan kepada dos penggalak bagi mereka yang memerlukannya dan mungkin mengubah kaedah vaksin yang digunakan untuk pelbagai individu (contohnya, tidak aktif, MRNA dan sebagainya).

 

Keupayaan ketepatan ujian pada tahap antibodi peneutralan kemungkinan membawa kepada pengurusan berasaskan data daripada pandemik COVID-19. - DagangNews.com