Skip to main content

Hong Seng lupus 35% kepentingan ekuiti dalam Pentasniaga dengan pertimbangan tunai RM24 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Hong Seng Consolidated Berhad menerusi anak syarikatnya HS Bio Sdn. Bhd. pada 24 Jun 2022 telah menandatangani Perjanjian Penjualan Saham dengan Nexterra Sdn. Bhd. bagi melupuskan 35,000 saham biasa atau 35% kepentingan ekuiti dalam Pantasniaga Sdn. Bhd. (Pantasniaga) untuk pertimbangan tunai RM24 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, pegangan saham HS Bio dalam Pantasniaga akan berkurangan daripada 51% kepada 16% selepas cadangan pelupusan itu selesai.

 

Cadangan pelupusan dijangka menjana keuntungan kira-kira RM20 juta kepada kumpulan.

 

Cadangan pelupusan dilihat sebagai peluang yang tepat pada masanya untuk merealisasikan keuntungan segera dengan hasil boleh yang diraih boleh digunakan untuk membiayai perniagaan sedia ada.

 

Pantasniaga merupakan penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan sains hayat yang menyediakan produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang berkualiti dan nilai tambah kepada pelanggan dalam sektor kerajaan dan swasta.
 

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk BGI Genomics Co., Ltd., penyedia perkhidmatan penjujukan genomik dan proteomik terkemuka dunia.

 

hong
Christopher Chan

 

Bagi tempoh 2020 hingga 2022, Pantasniaga berjaya memenuhi kontrak bernilai hampir RM200 juta bagi membekalkan kit ujian PCR untuk COVID-19 kepada Kerajaan Malaysia menerusi agensinya yang berkaitan.

 

Mengulas mengenai cadangan pelupusan itu, Pengarah Eksekutif Hong Seng dan Pengarah HS Bio, Christopher Chan berkata, cadangan itu merupakan langkah positif yang memberi peluang kepada kumpulan dan merealisasikan pelaburan dan aset dalam Pantasniaga.

 

"Dana yang diraih menerusi pelupusan itu akan digunakan untuk membiayai perniagaan kumpulan sedia ada dan pprospek perniagaan baharu.

 

"Perniagaan sedia ada kumpulan merangkumi sarung tangan, perkhidmatan logistik bersepadu dan perniagaan perkhidmatan kewangan.” katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu mungkin akan menggunakan dana tersebut untuk meluaskan perniagaan penjagaan kesihatan menerusi anak syarikatnya dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berkaitan selepas wabak seperti pemeriksaan genomik dan biokimia serta pengedaran produk penjagaan kesihatan serta farmaseutikal lain.

 

Katanya, penjagaan kesihatan akan terus menjadi teras penting kepada Hong Seng pada masa akan datang.

 

"Kami berhasrat untuk mendigitalkan industri penjagaan kesihatan tempatan dengan membina ekosistem yang lancar yang boleh mempengaruhi cara perkhidmatan perubatan dijalankan.

 

"Kumpulan ini telah berkembang secara progresif untuk menjadi salah satu pemain paling komprehensif dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dengan penyelesaian pengurusan rantaian bekalan perubatan yang serba lengkap,” katanya. - DagangNews.com