PUTRAJAYA 16 Mei - HRD Corp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalin kerjasama strategik dengan Johns Hopkins University antaranya merangkumi penyediaan program latihan kemahiran bagi memastikan pekerja Malaysia bersedia untuk masa hadapan digital.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata persetujuan jalinan kerjasama strategik itu dinyatakan ketika beliau melawat universiti tersebut semasa berada di Washington, Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata kerjasama tersebut merangkumi penyediaan program-program latihan kemahiran khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan terbaru seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G, keselamatan siber, teknologi blok rantai dan beberapa lagi program.
"Saya difahamkan Johns Hopkins University adalah sebuah universiti penyelidikan pertama ditubuhkan di AS.
"Saya percaya HRD Corp boleh memanfaatkan kepakaran yang dimiliki oleh Johns Hopkins University dalam kursus-kursus berteknologi tinggi terutama bagi tujuan pembangunan kemahiran golongan profesional," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan berkata HRD Corp dan Johns Hopkins University juga akan bekerjasama untuk membangunkan program-program latihan jangka pendek bagi memperkuat kebolehpasaran tenaga kerja Malaysia dan itu akan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan terdapatnya peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia.
"Sejajar dengan hasrat HRD Corp untuk membolehkan perolehan kelulusan melalui latihan-latihan jangka pendek, HRD Corp akan mengusahakan agar latihan yang ditawarkan penyedia latihan berdaftar turut diiktiraf oleh Johns Hopkins University.
"Selain itu, saya telah mengesyorkan HRD Corp untuk menggunakan peluang usahasama dengan Johns Hopkins University bagi meluaskan penerimaan inisiatif Microcredential HRD Corp di peringkat antarabangsa, memandangkan HRD Corp telah memperkenalkan rangka kerja microcredential baru-baru ini," katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata beliau telah mengarahkan HRD Corp untuk bekerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk memastikan pegawai-pegawai kanan kerajaan dapat mencapai program-program latihan dalam bidang AI.
"Program ini akan memberi pendedahan selain melengkapkan pegawai kerajaan dengan kefahaman dan kemahiran yang diperlukan dalam memperkukuh kepimpinan," katanya. - DagangNews.com