HSBC lancar dompet digital pelbagai mata wang pertama di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

HSBC lancar dompet digital pelbagai mata wang pertama di Malaysia 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - HSBC Malaysia melancarkan HSBC Global Wallet, dompet digital berbilang mata wang pertama di Malaysia yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat dan menerima pembayaran antarabangsa dengan mudah dan selamat daripada satu akaun global.

 

Shayan Hazir, Ketua Kecairan Global dan Pengurusan Tunai HSBC Malaysia, Shayan Hazir berkata, Global Wallet disepadukan sepenuhnya dalam platform perbankan perniagaan sedia ada HSBC, HSBCnet, dan dengan menggunakan rangkaian pembayaran global bank, ia membolehkan PKS 'membayar dan menerima seperti orang tempatan'. 

 

Ujarnya, Global Wallet juga dapat mengurangkan dengan ketara tempoh penghantaran wang kepada benefisiari luar negara dan menghapuskan keperluan untuk perniagaan menggunakan penyedia pihak ketiga bagi transaksi antarabangsa. 

 

"PKS boleh menghantar dan menerima wang dalam 10 mata wang, dan memegang serta mengurus mata wang tersebut dengan mewujudkan hubungan perbankan tunggal dengan HSBC Malaysia.

 

"Ia membolehkan mereka berurus niaga dengan cepat dan selamat dengan pembekal dan pelanggan mereka di seluruh dunia dalam mata wang destinasi. 

 

"Global Wallet memudahkan proses pembayaran supaya PKS dapat mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa, dapat berurus niaga dengan pembekal dan pelanggan mereka di seluruh dunia dengan lancar dan mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas aliran pembayaran yang penting untuk pengurusan aliran tunai yang cekap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Shayan Hazir
Shayan Hazir

 

Tambahnya, penyelesaian itu kini menyokong 10 mata wang termasuk AS$, Yen Jepun, renminbi, Dolar Singapura dan Euro. 

 

Sementara itu Ketua Negara Perbankan Komersial, HSBC Malaysia, Andrew Sill MBE berkata, sebagai bank pilihan antarabangsa yang dipercayai untuk PKS, pelancaran HSBC Global Wallet mengukuhkan komitmen bank untuk meningkatkan keupayaan perbankan PKSnya di Malaysia.

 

"Ia juga bagi menyokong PKS apabila ia berkembang di peringkat antarabangsa. 

 

"Kami menjangkakan dapat mengembangkan asas pelanggan PKS kami sebanyak 25% pada tahun pertama dengan pelancaran Global Wallet," katanya. -DagangNews.com