Skip to main content

Hutang meningkat berisiko untuk pemulihan ekonomi - Moody's Analytics

Gambar Ismail Sadiron/EyeEm/Getty Images

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Dunia menyaksikan jumlah hutang yang meningkat 34 mata peratusan pada tahun lalu, bernilai AS$24 trilion. 

 

Ini merupakan paras tertinggi baharu iaitu pada kadar 366% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Moody's Analytics.

 

Jelas firma itu,  walaupun aktiviti pinjaman oleh kerajaan tinggi, hutang korporat, isi rumah dan sektor kewangan meningkat, namun ini mewujudkan risiko kepada pemulihan global.

 

"Di sebalik prospek pertumbuhan yang semakin baik di Amerika Syarikat (AS) dan China, beban hutang yang meningkat di seluruh dunia menambahkan risiko kepada pertumbuhan dan kestabilan kewangan," katanya menurut laporan Bernama.

 

Peningkatan hutang itu terutamanya membabitkan pasaran pesat membangun dan Eropah Selatan ketika gelombang ketiga dan keempat pandemik COVID-19, permintaan domestik yang lembap, serta pekerjaan dan pendapatan yang berdepan impak buruk yang berterusan.

 

Mengenai hutang kerajaan global, Moody's Analytics berkata, hutang berkenaan meningkat sebanyak AS$12.2 trilion pada 2020, peningkatan tertinggi dalam rekod dan menyumbang lebih separuh daripada kenaikan jumlah hutang global.

 

"Sebagai sebahagian daripada KDNK global, hutang kerajaan dibahagikan kepada tiga angka, mencapai rekod 105% daripada output ekonomi global.

 

"Peningkatan hutang kerajaan meningkatkan risiko ini dan penyebab kepada sikap berhati-hati di kebanyakan negara di seluruh dunia," tambah firma itu.

 

Bagaimanapun, katanya, beberapa negara dengan beban hutang yang tinggi memerlukan perhatian khusus, diterajui AS dan China.

 

Sementara itu, Jepun menyaksikan peningkatan beban hutang yang lebih kecil berbanding kebanyakan negara lain di rantau Asia Pasifik.

 

Hutang korporat global pula meningkat sebanyak AS$5.5 trilion tahun lalu, sekali gus mendorong kenaikan hutang korporat kepada AS$80.6 trilion. 

 

Bagi hutang isi rumah, ia melonjak AS$2.5 trilion pada 2020, peningkatan tertinggi sejak pertengahan 2000. - DagangNews.com