Hutang RM10.3 bilion, kemampuan kewangan Sapura Energy dipersoal | DagangNews Skip to main content

Hutang RM10.3 bilion, kemampuan kewangan Sapura Energy dipersoal

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Pada kadar hutang RM10.3 bilion, beban ini dilihat masih berat untuk ditanggung oleh Sapura Energy Berhad (SEB) walaupun kumpulan berjaya memperoleh moratorium bayaran balik pokok selama dua tahun setengah bagi penyusunan semula pinjaman Mac 2021.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap melihat pembayaran semula hutang untuk tempoh tujuh tahun mungkin sukar untuk SEB, memandangkan perbelanjaan capex huluan kumpulan belum lagi meningkat.

 

“Pelupusan aset dan perniagaan dalam perancangan, tetapi banyak kapal luar pesisir SEB dan tender rig penggerudian telah lama dan ada yang disimpan selama bertahun-tahun, sekali gus tidak pasti berapa nilai penjualan aset itu.

 

“Masih belum jelas sekiranya SEB mampu memperoleh dana-dana itu untuk bertahan dalam (usaha) peralihan tenaganya dan membiayai matlamatnya untuk menjadi pemilik-pengendali aset angin luar pesisir,” jelas Yap dalam satu nota kajian.

 

Semalam, SEB mencatatkan kerugian bersih sebanyak -RM97.07 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) berbanding keuntungan bersih RM14.21 juta pada 1QFY21.

 

Ini disebabkan oleh kesan pertukaran mata wang berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), perolehan keuntungan yang lebih rendah dari syarikat bersekutu dan usaha sama serta ketidaktentuan pandemik COVID-19 dan impaknya ke atas operasi kumpulan.

 

SEB mendedahkan bahawa kumpulan telah membelanjakan sebanyak RM42 juta bagi kos berkaitan COVID-19 dan kehilangan peluang hasil pada 1QFY22, dengan kerugian terkumpul berjumlah RM328 juta. 

 

“Berdasarkan kontrak yang diperoleh ketika ini, kami menjangkakan perniagaan penggerudiannya akan menyaksikan purata penggunaan 40% dalam tempoh tiga suku tahun akan datang, sama seperti kadar penggunaan pada 1Q, seterusnya perniagaan ini mungkin mampu mempertahankan keuntungan suku tahunan bagi sepanjang tahun kewangan semasa.

 

“Keuntungan penerokaan dan pengeluaran (E&P) juga akan bertambah baik pada suku tahun akan datang dengan Brent ketika ini pada kadar AS$75 setong berbanding purata AS$64 setong semasa 1Q. Kami berharap aspek-aspek positif ini akan membantu SEB mengurangkan kerugiannya sepanjang FY22,” tambah Yap.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham SEB dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM0.14.

 

MIDF sebaliknya mengekalkan saranan ‘beli’ saham SEB dengan TP tidak berubah pada kadar RM0.16 sesaham. 

 

Firma itu melihat perjalanan perniagaan SEB pada masa akan datang bukan sahaja akan bertambah baik ekoran prospek harga minyak mentah yang positif pada FY21, malah kumpulan dilengkapi dengan projek yang masih berterusan, prospek baharu dan pembidaan yang sedang berjalan.

 

Senada itu, penganalisis di Kenanga Research, Steven Chan menjangkakan SEB bakal menonjolkan prestasi lebih baik pada beberapa suku tahun akan datang terutamanya separuh kedua FY22 (2HFY22). 

 

Ini dipacu oleh pesanan buku kumpulan berjumlah RM11.8 bilion dengan RM29 bilion nilai pembidaan telah dihantar di seluruh dunia. 

 

“Langkah penstrukturan semula pembiayaan yang berjaya, juga menyaksikan sebanyak RM3 bilion pinjaman jangka pendek kini diklasifikasikan sebagai jangka panjang, seterusnya dapat mengurangkan risiko pinjaman kumpulan dengan signifikan buat masa ini,” ujar Chan lanjut.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham SEB dengan TP pada kadar RM0.21 sesaham.

 

Setakat 12.06 tengah hari, harga saham SEB menyusut -3.85% atau 0.005 sen kepada 0.125 sen. - DagangNews.com