i-Sinar KWSP : Tiada syarat ketat seperti didakwa segelintir pihak | DagangNews Skip to main content

i-Sinar KWSP : Tiada syarat ketat seperti didakwa segelintir pihak

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

Sesak nafas. Itu yang boleh disimpulkan mengenai isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Sudah diberi, ada yang tak puas hati. Maka dituruti juga. Masih juga tidak puas hati.

 

Bila ditenung, pihak yang tidak puas-puas ini mahu kerajaan bagi sahajalah apa yang rakyat nak iaitu pengeluaran sekali gus RM10,000 tanpa syarat.

 

Alasannya, duit caruman KWSP itu duit ahli. Jadi mereka berhak.

 

Bila ditenung lagi, tentu sahaja alasan ini tidak munasabah. Benarkan pengeluaran tanpa syarat? Tidak perlu kawal selia? Tidak mahu audit? Aduh… peraturan mana mahu ditiru ini?

 

Bawa bertenang sekejap. Mari teliti apa rasional KWSP bertindak demikian. Pertamanya, tiada syarat ketat mana pun. Syarat umum. Kalau tiada syarat umum, siapa hendak tegah orang yang tidak layak pun mahu ambil keluar?

 

Kerajaan memberi keutamaan pengeluaran ini sebenarnya kepada mereka yang benar-benar terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Bukan bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, syarikat masih mencarum dan gaji jalan seperti biasa tiada pengurangan satu sen pun.

 

Apa yang dipersoalkan sekarang adalah syarat-syarat yang dikenakan, walaupun secara dasarnya ia telah banyak dipermudahkan berbanding pengumumannya sebelum ini.

 

Terang dan jelas, mereka yang berada dalam kategori 1, kelulusan adalah automatik dan hanya perlu memohon dalam talian sahaja.

 

Tidak perlu membawa bukti ke kaunter KWSP seperti komen-komen yang dibangkitkan netizen, kalau berniaga bagaimana, kalau membela kambing adakah perlu membawa kambing ke KWSP - ini semua tidak perlu.

 

Yang penting, bacalah apa panduan KWSP. Jangan terpengaruh dengan 'panduan Facebook' yang niat di sebaliknya boleh dipersoalkan kerana mirip kepada propaganda untuk menganggu operasi KWSP semata-mata.

 

Untuk kategori 2 pula, bagi mereka yang mengalami pengurangan pendapatan 30% ke atas mulai Mac 2020. Ini termasuklah pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa.

Sumber : KWSP
Sumber : KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA

 

Bagi mempermudahkan urusan pencarum, kerjasama dan kejujuran majikan amat diperlukan dalam hal ini terutama dari segi rekod gaji dan pemotongan yang dibuat supaya hak mereka tidak dinafikan apabila membuat permohonan pengeluaran.

 

Sememangnya tidak dinafikan pengeluaran RM10,000 itu dapat digunakan untuk menyelesaikan banyak masalah hutang kerana ramai yang terjejas sejak wabak ini dikesan awal tahun ini.

 

Apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, ramai hilang sumber pendapatan.

 

Kadar pengangguran pada April turut melonjak kepada 5%, meningkat 48.8% berbanding tahun sebelumnya sekali gus mengatasi kadar purata tahunan untuk tempoh 30 tahun terakhir.

 

Di sebalik kebimbangan rakyat ini, lebih parah apabila Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu mendedahkan paras hutang isi rumah adalah sekitar 90%, paras tertinggi di Malaysia setakat ini.

 

Pada 2019, hutang isi rumah dianggarkan bernilai RM1.25 trilion ataupun 82.7% daripada nominal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan peningkatan sebanyak 5.34% daripada tahun sebelumnya.

 

Peratusan peningkatan hutang isi rumah akan naik setiap tahun setiap kali berlakunya krisis ekonomi.

 

Krisis yang berlaku kali ini pula bukan seperti krisis sebelum-sebelum ini. Sempadan ditutup, pergerakan juga terbatas meskipun penemuan vaksin memberi sinar kepada pemulihan ekonomi.

 

Diharapkan dengan langkah-langkah yang dipermudahkan bagi pengeluaran wang KWSP ini dapat digunakan sebaik-baiknya dan menyelesaikan apa yang perlu.

 

Bagi yang masih bekerja dan tidak terjejas, berhentilah merungut mengenai KWSP ini. Sekurang-kurangnya anda masih mempunyai pekerjaan sedangkan mereka yang betul-betul memerlukan sudah tiada punca pendapatan.

 

Ini adalah simpanan hari tua, jika kita tidak menikmatinya hari ini sekurang-kurangnya wang yang ditinggalkan dapat mempermudahkan urusan anak-anak pada masa hadapan. - DagangNews.com