i-Sinar : Permohonan sebelum 25 Feb, bayaran mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

i-Sinar : Permohonan sebelum 25 Feb, bayaran mulai hari ini

 

 


KUALA LUMPUR 2 Mac - Semua permohonan pengeluaran Akaun 1 melalui i-Sinar yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat bermula hari ini.

 

Dalam kenyataan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, langkah ini dibuat selepas kriteria kemudahan i-Sinar dimansuhkan pada Februari lalu. 

 

Malah, ia juga melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat. 

 

"KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya," katanya.

 

Permohonan baru yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli. 

 

Ini termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia. 

 

Permohonan baru ini akan diproses dalam tempoh 5 hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

 

Menurut KWSP, bermula 8 Mac ini juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

 

Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama 6 bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu:

 

  • Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

 

  • Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1. Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000. - DagangNews.com